Saturday, June 18, 2011

Cerpen - TASBIH

Solat berjemaah subuh sudah lama usai. Semua jemaah masjid kampung Jimha juga sudah pulang. Hanya tinggal Abid bersila keseorangan di saf pertama dalam masjid lama seluas dua gelanggang badminton itu.

Angin pagi tekal menyilir masuk melewati jendela yang terbuka. Deru air sungai yang mengalir di tepi masjid papan itu dibumbu bunyi serindit,kelicap dan pipit mulai riuh. Ayam jantan yang berkokok gagah sekali-sekala, melengkapkan dendang pagi kampung Jimha.

Abid meladeni semua itu dengan jiwa yang dibalut buncah. Meski tasbih dipetik satu persatu sembari mulut terkumat-kamit melafaz kalimah Allah, tetapi mindanya berkelintar dan hatinya terus dipasung ragu.

Betapa hari ini sangat penting bagi Abid. Hari ini dia perlu memutuskan, dan hari ini dia perlu buat keputusan.

Biasanya Abid akan duduk di masjid hingga masuk waktu dhuha. Dia akan terus solat sunat dhuha kemudian berzikir, membaca al-Quran dan beriktikaf di masjid santak ke zuhur. Sebelum masuk zuhur, dia akan tidur sekejap untuk ambil pahala sunah.
Usai solat zuhur berjemaah dan berdoa panjang-panjang dia pulang ke rumah dan biasanya bertembung dengan ibunya Hajah Salimah yang baru pulang dari menoreh getah. Apabila bertembung muka, dia dan ibunya saling berbalas senyuman tetapi masing-masing hanya diam seribu bahasa. Abid akan masuk ke bilik dan membentang sejadah, kemudian kembali berzikir sambil menanti panggilan ibunya untuk makan tengah hari.
Usai makan tengah hari, pasti akan datang orang-orang kampung minta air jampi tasbih kayu kokanya. Mereka lebih suka untuk minta air jampi Abid dari pergi ke Klinik Desa. Lagipun memang Abid sudah tetapkan waktu itu untuk orang datang berubat, kerana pada waktu lain ingin dipenuhinya dengan berzikir mengingati Allah. Semakin banyak zikir dan solat sunatnya, tentu doanya akan lebih mustajab, fikirnya selalu.

Kayu koka

Tasbih yang diperbuat dari kayu koka itu dibelinya semasa transit di Mesir ketika menunaikan umrah setahun lalu. Kata budak yang menjual tasbih ini, kaku koka banyak khasiatnya dan tahan lama. Kalau direndam dalam air, boleh ubatkan demam dan pelbagai penyakit.

Maka sejak itu, tasbih kayu koka ini tidak pernah lekang melingkar di tangan Abid. Dan tidak kurang juga orang kampung yang datang minta air rendaman koka bersama pengeras puluhan ringgit. Malah penduduk-penduduk kampung jiran juga ramai yang datang dek kerana yakin dengan dakwaan air jampi kayu koka amat mujarab.
Apabila diserahkan wang itu kepada ibunya Hajah Salimah untuk disimpan pergi menunaikan haji, ibunya menolak. Kata Hajah Salimah, biarlah dia menabung sendiri hasil dari wang menoreh getahnya. Abid culaskan perasaan peliknya, kerana di hujung penolakan secara baik itu, terukir seulas senyuman manis di bibir Hajah Salimah.
Namun, sejak dua bulan lalu, ketenangan dan kedamaian yang dikecapi itu sudah bertukar rupa. Panas yang diharap sampai ke petang, hujan pula di tengah hari. Semuanya gara-gara seorang ustaz bernama Arif.

Ustaz Arif yang dihantar mengajar di sekolah kampung itu membawa pandangan-pandangan asing kepada masyarakat kampung. Pandangan-pandangan yang tidak selari dengan adat kebiasaan yang sudah sekian lama berakar umbi di kampung Jimha. Adat kebiasaan orang kampung menghabiskan waktu dengan beribadah di masjid, berzikir dan berdoa berjam-jam lamanya.

Apa yang didengarnya, ustaz itu mendekati orang kampung di warung-warung, kedai-kedai dan rajin menyapa serta pandai beramah mesra dengan semua orang tanpa mengira bangsa. Dia suka bercerita tentang sejarah Islam dan mengakrabi jiwa masyarakat kampung dengan ilmu pengetahuan.

Mula-mula ada juga dalam seorang dua yang bercerita tentang Ustaz Arif, tapi lama kelamaan bertambah ramai serta menjadi buah mulut. Orang yang menurutinya beriktikaf di masjid selepas subuh sampai zuhur juga sudah tidak ada. Yang datang minta air rendaman koka dengannya juga sudah semakin berkurangan. Sehingga beberapa minggu ini, tiada seorang pun yang datang ke rumahnya minta air jampi koka.

Imam

Apabila di masjid pada waktu-waktu solat fardhu, sebelum ini selalu juga para jemaah menolak Abid ke hadapan menjadi imam, tapi sekarang tiada langsung. Dia yang asalnya, selalu berada di saf hadapan, kini sudah berundur ke saf kedua.
Tiada siapa yang peduli.

Apabila pulang ke rumah selepas zohor dan berpapasan dengan orang kampung, ada sahaja cerita kehebatan Ustaz Arif didengarnya secara tidak sengaja. Malah cerita kehebatan itu berjangkit dan merebak pula dalam kalangan penduduk-penduduk kampung jiran.

“Beradab dan lemah lembut.”
“Peramah orangnya.”
“Berilmu dan pandai ambil hati.”

Dan selepas subuh ahad tiga hari yang lalu, jemaah masjid bersepakat meminta Ustaz Arif menyampaikan kuliah. Kuliah yang benar-benar menyentap damainya.
“Islam tidak hanya di masjid, di surau atau di tikar sejadah sahaja. Islam itu syumul, menyeluruh serta merangkumi semua aspek kehidupan. Itu sebab dalam rukun Islam yang perlu ditegakkan oleh seorang Muslim tidak hanya berbicara tentang syahadah, solat dan puasa, tapi juga pada zakat dan haji.”
Suara tegas ustaz itu masih jelas kedengaran di benaknya.

Zakat

“Kita beri zakat sebab kita empati, yakni sama-sama merasai perasaan orang fakir miskin dan insan-insan memerlukan. Maknanya kita perlu fikir untuk orang lain, bukan seperti enau dalam belukar, lepaskan diri sendiri sahaja. Begitu juga dengan ibadah haji, mengajak kita bertaaruf, saling kenal mengenal, tanpa mengira bangsa dan warna kulit. Islam itu agama berjemaah.”

Jemarinya ketika itu kaku dari terus memetik tasbih. Kuliah ustaz itu seperti bertih digoreng dan sangat memukau perhatiannya.

“Islam bukan agama ritual, yang tertumpu di tempat ibadah, atau pada hari-hari dan tempoh tertentu, seperti hari jumaat atau Hari Raya sahaja, tetapi Islam itu sendiri adalah sistem kehidupan. Usah sempitkan paradigma terhadap ibadah. Ibadah itu luas maknanya. Itu sebab sejak awal kehidupan kita bermula dari bangun tidur, sehinggalah kita tidur semula, semuanya dipenuhi dengan sunah, dan melalui niat yang betul, maka insya-Allah semua itu dikira ibadah disisi-Nya, hatta di tandas sekali pun, kita tetap Muslim.”

Mata Abid tidak berkelip.
“Apakah kita rela membiarkan tanah yang subur, aset dan sumber asli yang berharga dalam negara kita ini tidak digunakan dan tergadai? Malah diberikan pula kepada penjajah dan manusia yang tidak amanah menguruskannya? Apakah kita boleh berbangga dengan banyaknya amal ibadah yang kita lakukan, tapi membiarkan pula diri dan seluruh keluarga merempat di tanah air sendiri seperti yang pernah berlaku ketika dahulu?”

Tenggorok Abid turun naik menelan air liur. Jiwanya seperti dilanda gempa.
“Selain kita adalah hamba kepada Allah, jangan lupa kita juga adalah Khalifah, yang memikul amanah sebagai seorang anggota masyarakat, ummah dan seluruh alam ini. Cakna tentang hal ehwal masyarakat, ummah dan alam adalah sunah Rasulullah s.a.w.”
Abid terperangah. Tazkirah itu menyelumbar di perdu hatinya. Membengkak dan berbisa metah.

Tiba-tiba Abid terdengar sayup-sayup bunyi mesin rumput Ngah Razak, siak masjid. Barangkali sedang membersihkan kawasan perkuburan sebelah.
Abid menghela nafas. Dia menghimbau saat-saat penting yang berlangsung pada malam tadi. Dia melanggar rutin kebiasaannya berzikir selepas isyak, dengan bersila di beranda rumah, menghantar jauh pandangan membelah keheningan malam.
Ibunya Hajah Salimah mampir dengan membawa secawan kopi.
“Jauh termenung Abid.” Hajah Salimah melabuh duduk di sebelah anak tunggalnya itu. Bunyi cengkerik melatari malam yang bening.
“Apa pandangan mak tentang Ustaz Arif?” Abid bertanya, sambil menyuakan cawan ke mulut.

Kasih

Hajah Salimah diam seketika. Kemudian memandang wajah Abid dengan penuh kasih.
“Bagus sangat. Isi kuliahnya tiga hari lalu menyedarkan.” Hajah Salimah hanya memerhati Abid yang membisu lantas tersenyum.

“Abid masih ingat arwah ayah Abid?” Hajah Salimah bertanya, tetapi sebak lekas menghurung dada kala gelaran itu disebut. Rasa rindu tiba-tiba merongrong jiwanya. Kandil ingatannya kini menyalakan kenangan lalu.

Abid angguk. “Selalu ingat.” Suaranya perlahan.
Angin malam berhembus, menghantar kedinginan ke tubuh dua beranak itu.
“Ayah Abid kata, kita bertuah kerana kita memiliki tanah yang subur dan dia mengingatkan, kita akan disoal Allah di akhirat kelak jika kita tidak mengusahakan tanah yang subur itu, untuk manfaat keluarga dan umat Islam seluruhnya.”
Kata-kata itu ibarat jarum peniti munusuk ke dada Abid.

“Ketika mak baca al-Quran, ayah Abid selalu pesan, membaca dan memahami al-Quran itu sama penting. Baca sahaja tidak cukup, kita perlu tuntut ilmu untuk kita faham dan amalkan wasiat serta hukum yang terdapat di dalam al-Quran.” Hajah Salimah menghela nafas. Pandangannya merentas zulmat malam.

“Mak tidak pernah menghalang dan sentiasa redha Abid ingin beribadah dan mendekati Allah, tapi Abid ada kehidupan yang perlu diuruskan. Abid ada mak, ada kebun dan harta, dan mak juga teringin nak timang cucu.” Ada air yang menitis di pipi Hajah Salimah.

“Dah lama kita tidak berbual begini, Abid.” Suara Hajah Salimah bergetar.
Abid terkesima lalu memandang ibunya. Sedar mula menjarah mandala rasanya.
Jemari Abid lekas menyeka air mata yang mengalir di pipi Hajah Salimah. Dibalas senyuman manis daripada ibunya. Mata Hajah Salimah berkaca penuh makna, membalikkan cahaya rembulan yang mengambang penuh. Lamunan Abid tersentak apabila terdengar bunyi air berdebur di luar masjid. Dia menjengahkan pandangan ke arah pintu yang terbuka, melihat Ngah Razak sedang membasuh tempat wuduk. Dia melihat jam di dinding masjid, yang menandakan sudah masuk waktu dhuha.

Abid bingkas, menunaikan solat sunat dhuha, seterusnya berdoa bersungguh-sungguh. Wajahnya merah, keningnya berkerut. Nafasnya turun naik penuh khusyuk. Dia akhirnya tenggelam dalam halawah sujud syukur.

Kini Abid sudah tiba pada kemuncak fikirnya. Dia sudah buat keputusan. Dia terkenangkan kata-kata terakhir Ustaz Arif sebelum mengakhiri kuliah subuhnya tiga hari lalu.

“Islam tidak terletak sepenuhnya pada tasbih dan zikir. Tanpa menafikan kepentingan zikir, tapi perlulah seimbang pada ilmu dan fikir. Zikir akan sentiasa menghubungkan kita dengan Khalik, fikir pula akan menghubungkan kita dengan makhluk. Akhirnya kita akan menjadi seorang Muslim yang berintegriti, produktif, justeru memberi manfaat untuk ummah.”

Apabila Ngah Razak masuk ke dlam masjid, dia terlihat tasbih kayu koka Abid tergantung pada paku dinding di sebelah jendela. Kemudian dia memandang Abid yang tergesa-gesa keluar menyarung sepatu.

Ketika dia bertanya kepada Abid mahu ke mana, Abid hanya membalas dengan sepatah perkataan yang penuh keramat.
“Bekerja!”
----------Tamat---------

Amiza Khusyri
Mingguan Malaysia
Ahad 5 Jun, 2011

Ditaip semula oleh Puan Norli Ahmad

P/s: Kredit kepada penulis dan Puan Norli Ahmad.

Friday, June 17, 2011

Cerpen - DI NEGERI WAYANG

Di Panggung Inu, Gelanggang Semar di Bangsal Turas sebuah, Jusoh Lapok titihan Tok Awanglah Mokrat, jurai-jemurai Awanglah Baju Merah sampai kepada Erok dan Erik membuka cerita hikayat wayang.

Laa ooo! Hilang ghoyat timbul ceghita. Di Nenggora Kayangan negeri yang aman permai segala dewa-dewi sedang asyik beramal ibadat. Ada yang berdiri, ada yang duduk. Ada yang bersila, ada yang bersimpuh. Ada yang sujud, ada yang kiam, ada yang sedang takbir – dalam ruang keinderaan istana pertapaan masing-masing. Ada yang tujuh hari tujuh malam. Ada yang tiga bulan sepuluh hari. Ada yang 40 hari 40 malam. Ada yang memakan usia tahun.

Ada yang sendirian, seorang diri seorang senyawa. Ada ynag dua sekapuh. Ada yang tiga sebaris. Ada yang empat sejajar. Ada yang tujuh serentak. Ada yang berlapis-lapis tak terbilang tubuh.

Sejuk dingin segarlah segala jiwa. Aman tenteram dan damailah segala kalbu. Jika terbuka sahaja pintu jabalawung maka akan teresaplah turun ke setiap tubuh segala makhluk di bumi yang lepan tanah yang rata bau harum semerbak memasuki hidung menembusi dada. Lemahlah kalam menyurati. Tak ada bahasa tak ada aksara manusia untuk menyusun kata.

Laa ooo! Tiba-tiba asap debu kelam mantera bergulung-gulung latah naik ke Nenggora Kayangan, maka haru-biru dan huru-haralah Neggora Kayangan, segala dewa-dewi nak beramal ibadat pun tak dapat. Masing-masing hairan tercengang serta ajaib.
Tiba di depan Sang Senohong Bentara Guru serta mengangkat sembah jerijit sepuluh dengan lembut manis bagai pucuk bermain angin, bagai gajah melambung belalai.
“Patik sembah ke Bawah Duli Tuanku, harapkan ampon barang lipah kali ampon. Harapkan maaf barang limpah kali maaf. Jual jauh tanam dalam, gantung tinggi, bunuh mati Tuanku. Apalah kekurangan Tuanku, latah gelosor turun dari atas peterana lalu luit panggil akan patik kedua saudara ban saudara Tuanku?”

Dewa-dewi

“Englah. Ya. Ya. Dewa Bantera Indera, Bayu Petala Maya, Dewa Kerga Kerga Dewa, abah turunlah diri ke alam dunia saki maya merca pada tanah yang rata-rata. Apalah bala dengan jentaka dalam alam dunia saki maya merca pada ketika ini, waktu ni debu kelam mantera asap berkepul-kepul masuk ke Nenggora Kayangan sehingga segala dewa-dewi nak beramal ibadat nak berikat tapapun tak dapat. Turunlah diri melihat segala anak cucu Adam. Denagn sebab sekiranya diri tidak turun habis pendeklah hikayat wayang cerita Jawa yang duduk bawa hari sewari malam semalam di Panggung Inu, Gelanggang Semar di Bangsal Turas.”

Laa ooo! Maka Bentara Indera pun menjunjung titah serta dengan tertib sembah jerijit sepuluh, esot senafas, bangun undur tiga langkah, paling belakang lalu menuju pula ke pintu jabalawung nak abah turun pula ke bumi yang leme di bawah saki mula merca pada.

Haa eeh! Haa eeh!
Terbuka saja pintu jabalawung, maka taufan asap berputar-putar menerjah masuk ke Nenggora Kayangan. Terpanalah Betara Indera melihat alam saki maya merca pada yang gelap-gulita. Tak ada lagi kehijauan dunia dan kesibukan manusia.
Laa ooo! Tengah-tengah melayang turun itu, sambil mata memerhati, maka terpandanglah akan sebiji cahaya yang bersinar-sinar, yang memancar-mancar, tali-temali dari bumi yang leme. Dari cahaya sebiji itu keluarlah asap debu kelam mantera bergulung-gulungan naik ke udara, sekali hitam sekali merah, sekali putih bercampur aduk bertukar ganti.

Belum pun Bentara Indera menjejakkan kakinya pada tanah yang leme di bumi yang rata. Tiba-tiba terpandang olehnya ribuan anak panah kesaktian dan sihir-sihiran dari sebelah Barat Daya berdecut-decut menuju ke arah Timur Jaga, menuju sebiji cahaya di situ keluar asap debu kelam mantera yang bergulungan menjadi ribut taufan naik ke udara, lalu masuk ke Nenggora Kayangan.

“Laa ooo! Cik Samsuki Sukibaru Kadarain Inderawiyyah marahnya tak bersidang kala. Hutang darah nak bayar darah. Hutang malu nak dibayar malu. Mukanya merah seperti bunga raya kembang pagi. Tubuhnya berbelit-belit bagai ular akan mengerluarkan bisa, kulitnya berbehil-behil bagai biji jagung. Maka nak keluar pula dari istananya nak cari segala dukun Melayu, dukun Jawa, dukun Orang Asli, yang pandai sihir-menyihir, nak cari segala hikmat dari wat Siam, berhala Hindu, tokong Cina.
Laa ooo! Jatuh ke mana jatuh? Jatuh ke rumah dukun Melayu, Makku Ukui Jannik. Tak membuang masa, tak membuang waktu Cik Samsuki SukibariKadarain Inderawiyyah pun ceroboh pula masuk ke rumah Makku Ukui Jannik.

“Ya, ya Nik, orang yang halus manis bijak laksana, peluh pelai tajung-menajung waktu senja petang hari membayang rupa ini, masuk ke rumah Makku, apa sebab dengan kerana Nik?”

“Makku orang mata tajam, pandai kelih tengok nampak, tak payahlah amba nak cerita panjang melebar hari Makku. Makku dah tahu cerita amba.”
“Oh! Begitu, siapakah tubuh bergelar badan bernama Nik?”
“Orang panggil amba Cik Samsuki Sukibari Kadarain Inderawiyyah ibu bernama Arfahiyyah bapak bernama Qasbi Syibu Syiban.”

“Orang titihan baik baka yang molek. Siapakah tubuh bernama badan bergelar kekasih Nik, yang menyebabkan Nik tepoh masuk ke rumah Makku ni, dan apa pula masalahnya?”
“Orang panggil dia Wan Langkiukia Surabari Surabaya, ibu bernama Siti Aishah bapa bernama Abdullah titihan Wan Empok Wan Malini yang turun di Bukit Siguntang Mahamiru.”

“Tidakkah selama hari ini Wan itulah yang menolong akan kamu, yang mengajar akan kamu, meletak akan kamu pada kedudukan kamu hari ini ketika ni?” Potong Makku Ukui Jannik.

Laa ooo! Mendengar akan rayu serta melihat akan teriak tangis dan air mata yang berderai-derai bagai manik putus dari karangan, umpama kaca redam sengit di batu, timbullah perhitungan dan kesian serta belas dari dalam diri Makku.
“Kalau begitu, apakah kehendak Nik?”

“Amba nak Makku buat sampai habis. Amba nak balas malu amba. Buatlah biar dia menjadi gila sepera, bodoh babot. Tak tahu laut, tak tahu darat. Tak tahu hilir bani tak tahu hulu bangsawan.”

Apabila Makku Ukui Janik menyanggupi pekerjaan sihir-menyihir itu, maka Cik Samsuki Sukibaru Kadarain Inderawiyyah pun pulanglah ke kediamannya.
Di rumah, teringatlah dia akan perbuatan Wan Lankiukia lalu memuncak pula akan panas dari dalam dadanya yang penuh dendam. Bersilih ganti muncul dalam ingatannya, kata-kata dari kawan baiknya.

“Aku fikir takut tak cukup dengan Makku ni. Lebih baik kita cari sami Siam, di Wat Siam. Sekali kita buat, biar puas hati.” Kata seorang sahabat baiknya.
“Aku fikir baik kita berjumpa bomoh Orang Asli. Ini masyhur. Dia boleh buat apa saja. Biar dia jadi mereng, gila babot...”

Rasa gembira

“Kalau tak cukup, aku ada kawe bomoh Jawa. Radin Toroi Prabu Silaka. Ini kita tak payah pergi jauh. Rumah dia di Kolalum Pour saja.” Cadang kawannya.
Cik Samsuki Sukibari Kadarain Inderawiyyah mendengar itu lalu timbullah rasa gembira dari dalam dadanya. Hilang seorang berganti seorang. Hilang dua berganti tiga. Tubuhnya pun bergetar-getar oleh marah yang bukan mudah bukan bicara.
“Macam mana Cik Samsuki?” Tanya seorang sahabat baiknya dari jenis lelaki tidak, perempuan pun bukan.

“Aku baru jumpa Makku. Makku kata dia boleh buat. Kalau dia tak cukup, dia pun ada kawan bomoh Siam. Kamu fikir macam mana?” Jawab Cik Samsuki.
“Aku ada kenalan bomoh Hindu, hebat. Bomoh Cina pun ada, kalau kau mahu. Kita boleh pergi.” Cadang sahabatnya itu.

“Tak apalah, aku nak lihat Makku dulu.Minggu ni aku nak gi jumpa bomoh Jawa juga.”
Laa ooo! Sampai hari tiba ketika, dengan rasa marah yang tak bersidang kala, dengan rasa benci yang berdenyut-denyut sampai ke jantungnya, Cik Samsuki Sukibari Kadarain Inderwiyyah, ibu bernama Arfahiyyah bapa bernama Qasbi Syibu Syiban keluar pula menuju ke rumah bomoh Jawa.

Ini bomoh Jawa, Radin Toroi Prabu Silaka. Mengikut cerita sangatlah hebat dan pandainya membuat sihir dan memuja semangat serta roh segala anak Adam.
Laaooo! Tak berlengah hari, tak membuang waktu, Cik Samsuki Sukibari Kadarain Inderawiyyah pun terus masuk ke rumah Radin Toroi Prabu Silaka. Sedar ketibaan Cik Samsuki, Radin Toroi serta-merta membaca isyarat sihir menukar parasnya dari tua menjadi muda belia, segak tampan.

“Apa sebab dengan kerana maka Cik Samsuki sampai ke teratak saya ni?” Tanya Radin Toroi Prabu Silaka.
Dengan air mata yang berlinang-linang Cik Samsuki Sukibari Kadarain Inderawiyyah membuka ceritanya.

“Mohonlah Pak radin menolong saya. Saya nak membalas perbuatan kekasih saya yang pukul godam saya dengan tak ada sebab dengan kerana. Malunya saya bukan kepalang. Tak ada bumi nak pijak. Tak ada langit nak junjung.” Pak Radin sambil mendengar membaca isyarat pengasih lalu dihembusnya kepada Cik Samsuki. Dalam hatinya pun berkata-kata: Telah datang rezeki yang baik ke hadapan aku, perempuan yang seelok rupa, puting kuning peranakan Jawa.

“Kata kamu tak ada sebab, tak ada silap. Tidakkah kamu menipu kekasih kamu? Tidakkah perbuatan kamu bertunang Kamalul Bahalul itu satu perbuatan jahat langgar janji? Kemudian kamu kata silap kekasih kamu. Semuanya dialah yang salah. Kamu tak pernah salah? Tidakkah ini hina dan menghinakan. Jijik dan menjijikkan?”
Cik Samsuki Sukibari Kadarain Inderawiyyah mendengar itu diam tak berkata-kata. Nafasnya tiba-tiba cepat turun naik. Dadanya berdebar-debar.

“Siapa nama kekasih kamu itu?”
“Pak Radin tahu nama bekas tunang saya, tentu Pak Radin tahu nama kekasih saya?”
“Namanya terlalu banyak. Dia memakai banyak pribadi, terkadang menjadi orang biasa, terkadang pakai nama laki-laki, ada waktu memakai nama perempuan. Terkadang menjadi makhluk bukan manusia.”

“Wan Sri Langkiukia Surabari Surabaya, ibu bernama Siti Aishah bapa bernama Abdullah titihan Wan Empok Wan Malini yang tersebut dalam Sejarah Melayu, mananam padi berbuahkan emas di Bukit Siguntang Mahamiru.”

“Dalam hal ni, kamu kena ingat, kamu pun bukan sedikit salah dan silapnya kepada Wan Sri Langkiukia?” Mendengar jawapan itu, menangislah Cik Samsuki.
“Bertahun kamu duduk bersama Wan Sri Langkiukia dengan tidak berkahwin? Kamu pernah gugurkan kandungan kamu. Tidakkah kamu takut akan kemurkaan Sang Yang Agung Dewata Mulia Raya?”

Maka makin tinggilah tangis Cik Samsuki. Melihat tangisan yang menjadi-jadi itu, maka Radin Toroi Prabu Silaka yang memang ada niat di dalam dirinya, lalu mengubah rentaknya. Maka dia pun memujuklah Cik Samsuki Sukibari dalam bahasa yang baik-baik sebagai pantun dan seloka sehingga air mata Cik Samsuki yang mengalir deras itu terhenti dan harapannya pun bersinar seperti munculnya matahari selepas hujan teramat berat.

“Kamu baliklah. Tidur lena, makan kenyang, mandi basah. Ini garam taburkan dalam rumah. Ini air buat mandi. Akan pekerjaan ini Pak Radinlah yang membuatnya.” Janji Radin Toroi Silaka.

Lalu berteguh-teguh janjilah antara Cik Samsuki Sukibari Kadarain Inderawiyyah dengan Raden Toroi Prabu Silaka, selepas itu maka pulanglah Cik Samsuki ke kediamannya.

Laaook! Sampai hari bilang genap arna cukup, maka Cik Samsuki Sukibari Kadarain Inderawiyyah pun mencari lagi, mengupah lagi segala bomoh untuk mengenakan bekas kekasihnya Wan Sri Langkiukia Surabari Surabaya. Maka diziarahnya sami Cina, sami Hindu, dukun Orang Asli.

Laaaook! Hilang kisah Cik Samsuki Sukibari Kadarain Inderawiyyah duduk bertemu segala bomoh, segala dukun, segala ahli sihir, nak sihir serta membuat akan perbuatan khianat kepada Wan Sri Langkiukia Surabari Surabaya, maka tersebutlah akan perkataan Wan Sri Kangkiukia Surabari Surabaya.

Selepas menjatuhkan tangannya ke atas Cik Samsuki Sukibari Kadarain Inderawiyyah, yang telah menjadi kurang ajar, dia pun pulanglah ke rumahnya. Duduklah dia dalam biliknya 40 hari 40 malam. Apa yang dia buat? Tak ada lainlah yang dia buat, melainkan sepanjang masa sepanjang waktu duduk berdoa kepada Sang Yang Agung Dewata Mulia Raya mintalah sejuk akan dirinya. Minta pulang pulih dirinya kepada dirinya yang asal, yang tidak dicabar oleh sebarang hawa oleh sebarang nafsu. Duduklah dia beramal isim uragedi senjata fakir kipah landung. Siang menjadi malam. Malam berganti siang.

Laa oo! Bentara Indera yang duduk di atas seketul batu hitam dekat dengan bangsal Paksuh Lapok seorang, jelaslah kepadanya fakta dan peristiwa kejadian sebagai mana dilihat serta serasi dengan firasatnya. Tersedit dari dalam hati nak kirat naik ke Nenggora Kayangan nak menghadap Sang Senohong Wan Agung Betara Guru nak menjelaskan akan segala peristiwa dan kejadian.

Haa eh! Maka Bentara Indera pun kirat pula naik ke Nenggora Kayangan Sura Lang Layang meredah asap tebal sekali putih, sekali hitam, sekali merah, sekali biru. Bertindih-tindan bertukar ganti. Tiba di pintu Jabalawung teruslah ke Balai Agung Sang Senohong Betara Guru.

Sihir

“Englah. Ya. Ya. Dewa Betara Indera, diri turun ke alam dunia telah balik semula. Apalah bala diri lihat sedang membakar dunia waktu ni, ketika ni dengan asap debu kelam mentara masuk ke Nenggora Kayangan?”

“Patik sembah ke Bawah Duli Tuanku, harapkan ampon, arang lipah kali ampon. Harapkan maaf, barang lipah kali maaf. Jual jauh tanam dalam, gantung tinggi, bunuh mati Tuanku. Dari bumi yang lama, tanah yang rata, Cik Samsuki Sukibari Kadarain Inderawiyyah sedang duduk mengupah segala bomoh Siam, bomoh Melayu, bomoh Orang Asli, bomoh Jawa, bomoh Hindu, tokong Cina... Dia nak sihir kekasihnya Wan Sri Langkiukia Surabari Surabaya supaya tunduk sujud kepadanya, kalau tak tunduk sujud di bawah tapak kakinya, di nak buat jadi gila sepera, bodoh babot, tak tahu hilir bani tak tahu ulu bangsawan. Supaya tak tahu tak tahu darat, Tuanku.”
“Oh ye ye demikian.”

“Ampon Tuanku, adapun Cik Samsuki Sukibari Kadarain Inderawiyyah itu jahat budi holo bangsa. Duduk bersama Wan Sri Langkiukia, berkasih dengan Kamalul Bahalul sampai bertunang. Bila jadi demikian, dia kata dia dipaksa keluarganya. Tapi bertunang tu tak lama, lepas lima bulan putus kerana Kamalul Bahalul tahu Cik Samsuki bersekedudukan dengan Wan Sri bertahun-tahun.”

“Ye ya demikian?”
“Adapun asap debu kelam mentara yang berkepul-kepul naik ke Nenggora Kayangan ni Tuanku, tak lain tak bukan, adalah akibat sihir oleh segala bomoh yang nak menamatkan riwayat Wan Sri langkiukia, Tuanku. Segala sihir itu apabila tiba hampir ke tubuh Wan Sri, oleh isim uragedi senjata fakir kipah landung Wan Sri Langkiukia, bertukar menjadi asap debu kelam mantera kemudian naik ke Nenggora Kayangan Sura Lan Layang, Tuanku.”

Laa ooo!
Tiba-tiba keluar Wak Long.
“Adik kakak sekalian, kita dah sembunyi dah. Tapi semua orang tahu cerita ini. Arwah Usman Awang tahu. Datuk Noor Azam tahu. Datuk Salleh Majid pun tahu. Rahimidin, SM Zakir, Marsli, Dr. Saifulhaq tahu. Penulis-penulis memang tahu. Malam pun sudah larut sangat dah ni. Kita berhentilah di sini dulu. Kalau ada umur panjang, kita sambung pula di lain kali.”-
-------- Tamat -------------------

Sutung Umar RS
Mingguan Malaysia
Ahad 21 Januari, 2007

Ditaip semula oleh Puan Norli Ahmad

P/s: Kredit kepada penulis dan Puan Norli Ahmad.

Cerpen - LIBAS

Memang benar. Perlawanan ini bukan saja perlawanan akhir, tetapi perlawanan untuk menentukan maruah. Peluang untuk memang tetap ada walaupun pasukan yang akan ditentang nanti johan menunggu. Sebelum ini pun pasukan Libas Balun hampir berjaya menewaskan pasukan Libas Gulung itu. Akan tetapi nasib tidak menyebelahi.

“Kita kena bersedia fizikal dan mental,” kata Mat Dubuk, tekong pasukan Libas Balun. Mat Angguk yang menjadi apit kanan hanya tersenyum sambil mengurut janggut. Mat Kaduk hanya tersengih dengan mata sepetnya melilau. Dia apit kiri yang bertanggungjawab melibas bola tanggung yang diumpan oleh Mat Dubuk.

“Kita perlu cari sokongan juga. Kalau ramai orang yang menyokong kita, pasti psikologi Libas Gulung akan terjejas,” kata Mat Kaduk.
Inilah dunia sepak takraw. Kombinasi tiga orang pemain sangat penting. Tekong menanti bola yang diumpan oleh apit kanan. Mat Angguklah apit kanan mereka. Dia tak mampu melibas. Dia hanya pengumpan bola.

Mat Angguk tahu peranannya dalam pasukan. Dia tahu peraturan sepak takraw. Permainan itu berasal dari permainan Cina iaitu ‘cuju’ bermaksud menendang bola. Sukan ini terkenal di Malaysia dan Thailand pada 1400. Dikenali sebagai ‘takraw’ dalam Thai. Dalam bahasa Melayu disebut sepak raga, di Filipina disebut ‘sipa’, di Myanmar disebut ‘Chinlone’, di Laos disebut ‘kator’. Pada 1740 peraturan-peraturan permainan diperkenalkan. Khabarnya permainan itu dimainkan pertama kali di Negeri Sembilan.
“Kali ini kita mesti menang!” kata Mat Dubuk yakin. Walaupun usianya semakin tua, dia tetap bersemangat. Semangat dubuk. Sudah lama dia mengidam untuk menjadi juara. Namun kehebatan pasukan Libas Gulung sukar ditandingi. Sejak dulu umpanan mereka tepat, sepakan tekong juga amat mengerlirukan dan tajam. Sementara libasan gulung pasukan itu sukar ditampan, apatah lagi untuk dikembalikan. Lebih hebat lagi, penyokong Libas Gulung memang ramai. Setiap kali perlawanan penyokong mereka berduyun-duyun memberikan sokongan.

“Jangan bimbang! Kali ini kita akan menang. Kita akan bawa Piala Agung,” kata Mat Dubuk yang baru saja mengambil alih posisi tekong sejak beberapa tahun yang lalu. Sebelum ini Mat kaduk yang menjadi tekong, tetapi bola sering saja bolos di celah-celah kangkangnya.

Mereka pun mengatur strategi untuk menang. Strategi awal sangat penting.
“Kita buat jerayawara. Kita burukkan pasukan Libas Gulung,” sampuk Mat Kaduk. Mat Angguk turut mengangguk.

Tidak membuang masa, jerayawara pun diadakan. Tiap-tipa hari pasukan Libas Balun bergerak berceramah. Macam-macam keburukan pasukan Libas Gulung didedahkan. Fitnah ditabur semata-mata untuk menang. Kemenangan adalah segala-galanya. Halal dan haram usah dikira.

“Tekong pasukan Libas Gulung selalu menipu dalam permainan. Mereka telah merasuah penjaga garisan. Mereka menang dengan rasuah ... rasuah ... rasuah!!” Mat Dubuk mengapi-apikan khalayak. Penonton bersorak gamat meluahkan perasaan marah kepada pasukan Libas Gulung.

“Tekong Libas Gulung ada skandal. Kalau ikut peraturan, dia tak layak bertanding. Apit kirinya pula tidak stabil emosinya, tetapi tidak mahu mengaku,” tambah Mat Dubuk. Mat Kaduk bertepuk sekuat tenaga setiap kali Mat Dubuk berhenti mengambil nafas. Mat Angguk tetap mengangguk tanda setuju. Sesekali dia hanya sebagai penumpang dalam pasukan itu.

“Jangan sokong mereka lagi. Penjaga garisan kita lantik yang baru. Yang lama, yang rasuah, kita pecat mereka. Kita hantar mereka ke penjara. Kita hantar mereka ke neraka,” Penyokong sangat teruja dengan kata-kata Mat Dubuk. Ternyata Mat Dubuk bukan saja berkebolehan menjadi tekong, tetapi juga pandai berkata-kata. Semangat dubuknya memang terserlah.

Memang tidak mustahil penjaga garisan menerima rasuah. Dia hanya perlu mengatakan ‘luar’ atau ‘dalam’. Satu patah perkataan itu akan mengurangkan peluang pasukan untuk menang. Bola sepakan bukannya perlahan. Bola rotan itu menjunam bagaikan peluru. Gelanggang permainan pula bukannya kecil. Panjangnya 13.42 meter dan lebarnya 6.10 meter. Lebar garisan pula hanya 5sm. Sukar mata kasar untuk menentukan sama ada bola jatuh di luar atau di dalam garisan. Di sinilah letaknya peranan penjaga garisan.

“Dalam perlawanan yang lalu kita kalah kerana pasukan Libas Gulung tipu semuanya. Tiangnya ditinggikan. Jaringnya direndahkan. Kita terlupa untuk menyukat jaring. Jaring mesti dibuat daripada bahan benang kasar, tali, atau daripada nilon dengan ukuran lubang-lubangnya 4.5sm. Lebar jaring 72sm dan panjangnya tidak lebih daripada 6.71m. Pada pinggir atas, bawah dan samping dibuat pita selebar 5sm yang diperkuat dengan tali yang diikatkan pada kedua gelung besi. Tinggi jaring 1.55m dari tanah atau lantai. Kita tidak mengukur semuanya dalam perlawanan yang lalu. Kita terlalu percaya dengan penganjur. Penganjur pun sama-sama menipu,” tegas Mat Dubuk bersungguh-sungguh supaya orang percaya bahawa pasukan lawan menipu dalam perlawanan.
Mat Dubuk dan pasukannya nampak yakin. Kali ini mereka akan menang besar. Piala Agung akan menjadi milik mereka. Selama ini mereka tidak pernah berhasil memegang piala kebanggaan itu. Malah Mat Dubuk sering bermimpi-mimpi untuk menjulang piala itu. Apatah lagi dia pernah berada dalam pasukan Libas Gulung suatu ketika dulu. Oleh sebab dia berebut hendak menjadi tekong, dia telah dipecat. Sejak itu dia berdendam untuk mengalahkan Pasukan Libas Gulung. Kini kekuatannya sudah cukup, penyokongnya sudah ramai. Mat Angguk turut menguatkan pasukan. Mat Kaduk apatah lagi, memang menanti peluang untuk menang.

Pasukan Libas Gulung pula tidak banyak diketahui strategi mereka. Mereka berlatih dalam diam. Mereka yakin mereka akan menang besar kali ini. Dalam perlawanan lalu tekong mereka tidak begitu kuat. Banyak bola tajam tidak dapat ditampan dengan baik. Malah ada ketikanya tekong itu melarikan diri apabila bola hantaran Mat Dubuk terlalu tajam. Kadang-kadang dia tertidur dalam gelanggang. Lebih buruk lagi, dia tidak mahu ditukarkan. Dia tetap mahu menjadi tekong. Banyak hantarannya terkeluar gelanggang. Kalau masuk pun latunannya terlalu lembut dan melambung, mudah bagi pasukan Libas Balun mematikannya.

Kini tekong barunampak lebih cergas. Betisnya juga keras dan mampu mengangkat kaki melepasi kepala. Begitulah adatnya bermain takraw. Kalau servis tidak kencang, sukar untuk mematikan lawan. Dulu tekong itu bermain apit kiri. Teruk juga badannya menahan libasan pasukan Libas Balun. Sampai lebam-lebam. Bola rotan yang dilibas ke badan memang memeritkan. Kini bola rotan diganti dengan bola sintetik. Malah permainan tekong baru ini kini mendapat perhatian luar negara. Kalau dulu takraw menjadi sukan popular di negara Asia Tenggara saja. Kini sukan sepak takraw telah berkembang di hampir 20 negara di dunia termasuk Amerika Syarikat, Kanada, China, Korea. Malah kaum wanita turut bermain takraw.

Hari perlawanan tiba juga akhirnya. Gelanggang utama sedah dipenuhi penyokong kedua-dua pasukan. Pasukan Libas Gulung seperti biasa turun dengan jersi biru kesukaan mereka. Masing-masing berpakaian lengkap daripada jenama mahal. Status juara bertahan mesti ditonjolkan. Penyokong bersorak-sorak dan tidak kurang juga yang mencemuh.

Sebentar kemudian pasukan Libas Balun masuk. Tekong memakai baju biru muda bercorak garisan melengkung. Apit kanan pula memakai jersi hijau putih dengan ikatan kepala yang besar. Apit kiri pasukan Libas Balun masuk dengan pakaian putih dan bergaris merah di lengan. Semuanya terlompat-lompat dengan penuh keyakinan akan menang dalam perlawanan kali ini. Di atas podium piala rebutan bersinar-sinar membalikkan cahaya lampu sorot stadium.

Perlawanan akan dimulakan. Pengadil mengambil tempat. Penjaga garisan mengambil tempat di semua penjuru gelanggnag.
“Kami mahu penjaga garisan kami sendiri,” jerit Mat Dubuk.
“Pihak penganjur sudah menyediakan penjaga garisan,” kata pengadil.
“Tidak! Penjaga garisan yang ada semuanya rasuah,” tegas Mat Dubuk. Suasana kecoh sebentar. Akhirnya keputusan dibuat agar penjaga garisan kedua-dua pasukan dibenarkan menjaga garisan. Maka penuhlah kawasan di sekeliling gelanggang itu dengan penjaga garisan. Ada yang memakai baju biru, merah, hijau, putih, dan ramai juga yang tidak memakai baju. Ada yang membawa sepanduk menyokonh pasukan Libas Balun. Suasana menjadi semakin kecoh.

Permainan akan dimulakan. Pasukan Libas Gulung yang akan memulakan servis. Apit kanan memegang bola rotan dengan penuh tumpuan. Mat Dubuk menunduk sedikit menanti bola hantaran tekong pasukan Libas Gulung. Kakinya dikangkang lebar sambil memasang kuda-kuda. Begitu juga Mat Angguk dan Mat Kaduk. Semuanya sudah bersedia.
Lambungan bola dibuat, tinggi ke arah tekong. Tekong pun menyepaknya kencang ke arah gelanggang lawan. Mat Dubuk mengangkat bola dengan jayanya ke arah Mat Angguk. Mat Angguk akan menimang bola ke atas jaring. Mat Kaduk bersedia untuk melibas ala kungfu. Akan tetapi Mat Dubuk bertindak sendiri. Dia menimang bola sendiri ke arah depan jaring. Tiba-tiba dia melibas sendiri. Pasukan lawan tidak menyangka Mat Dubuk yang akan melibas. Mereka berpandangan melihat bola terjatuh di atas lantai gelanggang. Penyokong pasukan Libas Balun bersorak. Cahaya kemenangan semakin bersinar. Sepanduk dan poster dijulang untuk membakar semangat Mat Dubuk dan pasukannya.

Kali ini giliran pasukan Libas Balun membuat servis. Mat Angguk mengambil tempat. Dia melemparkan bola ke arah Mat Dubuk dengan hati-hati. Mulutnya kumat-kamit membaca doa agar sepakan Mat Dubuk laju sehingga mencederakan pasukan lawan.
Bola dilambung. Mat Dubuk menyepak tinggi di udara. Bolanya melayang entah ke mana. Mat Kaduk hanya melihat bola itu melayang. Servis mereka hilang. Kedudukan kembali seri matanya.

Servis berpihak kepada lawan. Pasukan Libas Balun bersedia. Tekong pasukan Libas Gulung membuat sevris kuda. Bola melantung ke arah Mat Angguk. Mat Angguk berjaya menanduk tinggi ke arah Mat Kaduk. Bola betul-betul berada di depan jaring. Mat Kaduk mengambil lajak untuk melibas. Mat Angguk turut melonjak. Dia ingin menanduk bola sekuat tenaga. Namun sebelah kaki Mat Kaduk dan kepala Mat Angguk mencecah bola, ada kaki lain yang menerjah. Wah, Mat Dubuk telah menerpa ke depan untuk melibas. Kakinya menerjah muka Mat Kaduk dan kepala Mat Angguk. Kaki Mat Kaduk pula menerjah muka Mat Dubuk. Ikatan kepala Mat Angguk terburai dan membelit kaki Mat Dubuk dan Mat Kaduk. Ketiga-tiganya jatuh tergolek.

“Kamu tekong, kenapa kamu datang melibas ke depan?” sergah Mat Kaduk ke arah Mat Dubuk yang terlentang di lantai.
“Aku geram tengok bola tanggung,” balas Mat Dubuk sambil menyapu darah di hidungnya. Hentakan Mat Kaduk telah menyebabkan hidungnya berdarah. Di kanan gelanggang Mat Angguk hanya memegang kepalanya yang benjol.

“Tugas kamu hanya mengumpan bola, bukan melibas!” herdik Mat Kaduk kepada Mat Angguk. Dahi Mat Kaduk mula bengkak akibat terjahan tapak kasut Mat Dubuk.
Suasana kelam-kabut. Mat Dubuk, Mat Angguk, dan Mat Kaduk cedera. Mereka tidak dapat meneruskan perlawanan. Penyokong-penyokong mula riuh. Mereka kecewa. Piala Agung nampaknya gagal direbut. Akhirnya pengadil memberi kemenangan kepada pasukan Libas Gulung. Suasana bertambah kecoh.

Penyokong-penyokong mula berdemonstrasi di luar dewan. Mereka tidak berpuas hati. Mereka memaki hamun pengadil, penjaga garisan, pemain lawan, malah pemain mereka sendiri. Ada yang masuk ke gelanggang dan menendang Mat Dubuk yang tidak ikut peraturan permainan. Dia hanya mahu menang tanpa mengambil kira peraturan. Dia tidak kira bola hadapan atau bola belakang. Dia tidak kira bola sendiri atau bola orang, semua hendak dibalunnya. Akhirnya dia kalah tanpa bertanding.
Mat Dubuk, Mat Kaduk, dan Mat Angguk diusung keluar ketika pasukan Libas Gulung mengusung Piala Agung sekali lagi.
---------Tamat---------

Ghazali Lateh
Berita Minggu
Ahad 5 Jun, 2011

Ditaip semula oleh Puan Norli Ahmad

P/s: Kredit kepada penulis dan Puan Norli Ahmad.

Monday, June 13, 2011

Cerpen - EDITOR SEORANG TUHAN

Kata salah seorang rakan penulis yang agak berkuasa, manusia bergelar editor sudah mula menganggap dirinya sebagai Tuhan. Memang mereka mengadili penulis sama ada penulis yang baik mahupun terbaik yang bukan kerabat mereka. Penulis inilah seperti hamba yang meminta.

Mahkamah sastera pun tidak boleh mengatasi masalah-masalah seumpamanya di negara ini. Pucuk pimpinan yang dikatakan berkuasa juga tidak boleh menyingkirkan mereka. Kalau dia perempuan, dia cukup cantik dan harus dikurung di tempat khusus. Kalau dia lelaki, dia cukup kacak diletakkan pada tabir kerusi boneka. Desas-desus kekuatan editor seorang Tuhan dalam landskap jabatan itu memang ternyata utuh. Buktinya, manis mulutnya berkata di dada majalah agung itu. Maka, penulis seperti aku memang sukar untuk diberi ruang khas. Siapa penulis seperti aku? Penulis seperti aku tidak perlu diagungkan kerana aku penulis bangsa yang tidak dikenali. Akulah penulis yang sengaja dipinggirkan.

“Sekalipun kita sudah 1Malaysia, itu bukan jaminan.” Itu kata penilus yang bernama Sampah. Aku tahu suatu ketika dulu dia memang banyak menulis dan tulisannya hampir setiap bulan die-melkan kepada seorang editor. Setahun sekali karyanya terbit tetapi kini, Sampah juga seperti aku. Kami tidak diberi ruang sama rata seperti penulis lain. Kami dijahanamkan oleh seorang editor yang tidak mengerti hak sama rata warga penulis. Beberapa orang rakan penulis dari negeri sahabat juga menerima nasib serupa. Kami diadili tanpa mengira bahasa dan bangsa. Rumpun kami mahu dihapuskan. Inilah sebuah sistem dalam dunia sastera yang tidak ada siapa akan ambil tahu.
Pernah aku mendiamkan diri di satu sudut yang indah. Aku cuba tidak mahu menulis. Melihat masyarakatku bertani. Belajar menoreh. Menarik rotan. Menjadi nelayan. Menjadi pemburu. Aku juga menikmati hidup dengan kerja ilmiah lain. Ketika itu aku merindui dunia penulisan kembali sehingga aku mahu menulis lagi. Memerdekakan diri bukan bermakna aku ingin menjadi penulis yang kaya raya seperti penulis agung. Ingin juga aku menjadi seorang Tuhan seperti dia, tetapi aku tidak mampu. Aku rasakan diriku hanya mampumenjadi seorang pengikut Tuhan Yang Maha Kuasa yang terbaik didunia ini.

Apabila aku kembali menulis lagi, karya-karya kususul ke beberapa buah majalah dan media akhbar tanah air. Besar harapan agar karya itu terbit. Aku memang terlalu cemburu dengan karya penulis lain yang diterbitkan. Apa lagi karya itu agak teruk juga persembahannya. Kisahnya sama dengan kisah karya itu dan ini. Sama saja! Masakan aku tidak boleh menilai kerana aku juga seorang penulis yang memiliki sarjana. Karya aku lebih baik kerana aku menulis tentang kisah yang berlainan di negara ini. Cuma aku tidak diberi ruang oleh seorang editor yang memilih kerabatnya. Aku tahu editor itu dari Utusan Berangkai. Aku juga tahu editor itu dari Majalah Dewan Kaya Raya. Aku tahu editor itu hanya memilih orang-orang yang sama. Orang itulah konco-konconya. Karya-karya mereka tiga empat kali terbit di dada majalah dan akhbar yang sama. Bagaimana ada ruang karya aku diterbitkan?

“Kalau politik kian kotor, kerja editor pun seperti itu!” Itu rungutan seorang sahabat. Aku hanya terpinga-pinga kerana tidak mampu bersuara. Hilang daya kuasa untuk menulis. Ukuran bagaimana lagi yang harus aku lakukan jika keadaan terus begini. Akulah seorang penulis yang dibiarkan oleh Editor Seorang Tuhan.
Aku masih menjejak kembali kata-kata seorang editor yang pernah menabur janji manis. Janji-janji manis itu lebur menjadi kata-kata keji dan marah.

“Tolong nasihatkan rakan kau ini.” Itu peringatan dia dia melalui rakan penulis aku. Dalam masa yang sama aku susulkan e-mel kepadanya dengan peringatan agar menepati janji. Atau sekurang-kurangnya beri ruang sepatah perkataan untuk karyaku diterbitkan. Alangkah bongkaknya dia, menaburkan kata-kata yang tidak sepatutnya. Inilah detik-detik tamatnya hubungan manis kami. Juga, telah lebur harapanku. Aku kembali mengingati doaku kepada Tuhan yang pada suatu ketika dulu aku mengharapkan dia sihat dan sembuh dari penyakitnya. Syukur dia benar-benar sihat, tetapi itulah balasannya. Kini, dia menganggap aku penulis yang tidak patut diberi ruang kerana aku tidak patut maju seperti penulis pujaannya. Aku bukan bangsanya dan aku tidak patut dimajukan.

Sesudah detik itu, aku paling benci kepadanya. Aku memang tidak berniat menghantar karya kepada majalahnya. Aku juga tidak mahu menghantar karya ke Utusan Berangkai kerana editor jenis muka bertalam dua akan memilih karya dari rakan-rakan mereka. Malah mahkamah sastera sudah kelompok mereka genggam. Semua penulis tahu yang mereka hanya memilih karya rakan mereka. Mereka ini diberi ruang dengan menutup ruangan penulis lain. Oleh kerana itulah sikap tidak sihat mereka sudah diketahui orang ramai. Biarlah orang ramai yang menjadi hakimkepada kelompok mereka ini.
Isu buku etnik kebangsaan menjadi isu besar. Pemimpin sering memilih karya bangsa kerabatnya. Bicara mereka berlegar besar agar karya etnik diberi ruang. Agar semua masyarakat berdiri sama tinggi. Agar karya dari negeri bumi kami dan negeri di bawah angin juga diberi perhatian. Namun, karya-karya etnik juga tidak diberi ruang. Mereka inilah yang meneggelamkan karya kami. Mereka ini masih menerbitkan karya-karya kerabat mereka.

“Celaka!” Herdik Sampah di depan aku. Karyanya juga sudah tidak dilayan lagi walaupun hampir setiap bulan dia menghantarnya kepada editor berkenaan. Pada hari ini, sudah tidak ada pertimbangan lagi dalam dunia sastera. Betul kata beberaqpa orang penulis bahawa editor sudah macam Tuhan yang perlu disembah. Editor ada kalanya terlalu menutup ruang penulis lemah. Penulis seperti aku, apa lagi kerana jauh di pulau lain. Malah atas perkara-perkara yang lain. Memang langsung tidak boleh dipertimbangkan apabila aku menjadi penulis kelompok aku.
Aku damai dengan dunia yang lain. Aku berjuang dengan pekerjaan tetap, namun mengharapkan ada editor lain menawarkan ruang untuk berkarya. Kerunsingan hilang apabila aku terlibat dengan aktiviti itu dan aktiviti ini. Aku berlagak seperti penyanyi. Aku seperti seorang pemain bola sepak. Aku juga berlagak seperti seorang pengarah filem. Dengan itu, aku berusaha membesarkan peluang diri di bawah himpitan. Aku dapat juga makan empat bungkus nasi dengan kerja yang aku lakukan seharian. Dapat juga aku membuka ruang kepada rakan yang senasib denganku. Ketika itu aku terus beringat untuk tidak menjadi Tuhan seperti editor itu.

Aku tetap membaca majalah Dewan Kaya Raya. Karya-karya orang yang sama masihmemenuhi ruang majalah itu. Aku juga membaca karya-karya Utusan Berangkai. Terbukti karya-karya rakan dan kerabatnya saja yang terbit. Aku langsung tidak melihat karya bangsaku di situ. Aku tidak melihat karya-karya bangsa lain di situ, tetapi hanya karya-karya dari kelompok kerabatnya. Editor jenis itu memang paling teruk. Seorang editor yang tiada pembaharuan, apa lagi mahu memperkenalkan penulis baru. Penulis lama yang bukan kerabatnya, langsung tidak diterima mereka. Patutlah hanya kerabatnya mengisi tempat kemengangan anugerah sastera tanah air saban tahun.
“Dasar editor tak guna!” rungut seorang penulis yang bernama pena, Kutu kepadaku.
“Awak sembah dia! Awak puji dia!” kataku kepad Kutu sambil ketawa, tetapi di dalam hati bukan lagi kepalang geramnya. Apa tidaknya, editor jenis itu menutup ruang demokrasi buat satu bangsa negara ini. Mereka itulah tidak seharusnya mengisi kerusi editor kerana tabiat mengampu antara mereka. Mereka itu berlagak sombong! Ada kalanya bersifat mereka kurang komunikasi peramah dengan penulis seperti kita. Mereka dilahirkan di bandar-bandar yang kurang ajar. Pelajaran yang mereka terima tidak cukup untuk mereka menjadi manusia yang peramah.

Mereka membuat peraturan sendiri. Mereka inilah memegang tabiat talam dua muka. Mereka menyembah penulis besar dan kerabat mereka sendiri. Jadi, kita kena menyembah pula mereka agar karya kita diterima. Menurut Kutu, editor jantan lebih peramah, tetapi perlui dirayu. Sedangkan editor betina, bermulut manis tetapi hati mereka lain-lain. Bongkak dan sombong kalau dihubungi tentang bila karya kita hendak diterbitkan. Malah kita harus menjaga tutur percakapan kita.

Sebelum Kutu memberitahu, aku sudah tahu kerana aku sudah mengharungi saat genting itu. Aku tahu editor betina itu tidak pernah respon e-mel yang aku susulkan. Agaknya, dia tetap megutamakan kelompoknya. Susahkah beri respon yang dia telah terima e-mel dan karya kita? Susahkah dia menghubungi melalui telefon yang dia sudah terima karya berkenaan dan tidak dapat diterbitkan kerana tidak sesuai? Susahkah dia beritahu dia beritahu karya kita itu sampah? Memang itulah penyakit editor seorang Tuhan. Susahkah dia beritahu karya itu tidak matang seperti yang diinginkan?
Editor itu memang mengutamakan kelompok kerabatnya. Editor itu memang telah merancang agar semua anugerah dikaut oleh kerabatnya saja. Anugerah yang berharga sesen pun mereka kaut, apa lagi anugerah yang besar.

Aku dapat merasakan keraguan warga penulis yang terpinggir seperti aku. Mereka tidak berdoa seperti dulu. Mereka sudah mula tidak mengharapkan apa-apa harapan daripada editor itu. Cuma, mereka berharap editor jenis itu ditukar. Editor itu dijangka menjadi kudis kepada kemajuan sastera kita. Jutaan terima kasih buat akhbar Berita Gempar kerana sentiasa memberi peluang kepada karya kami yang diterbitkan. Aku melihat kebanyakan karya penulis terpinggir diterbitkan di dada Berita Tergempar.
Namun, aku masih ingatkan Editor Seorang Tuhan agar beri peluang karya kami diterbitkan. Karya dia pun sama tahapnya dengan karyaku. Aku menilai begitu kerana aku membaca semua karya yang terbit di majalah itu tidaklah seagung mana pun. Karya aku dan rakan-rakan juga setanding dengan karya mereka itu. Mungkin kerana masalah editor itu berpenyakit kronik? Atau berpenyakit tidak suka? Atau memang menutup karya penulis dari pulau yang jauh seperti kami? Itulah satu kemungkinan yang berlaku.

Namun, editor itu masih lagi tidak memandang penulis seperti aku. Tetap juga memilih kerabatnya. Tetap meminta karya-karya daripada kelompok dia saja. Malah menutup langsung pintu untuk karya aku diterbitkan.
“Dia Tuhan! Dia editor yang kerabatnya sembah,” itu kata Sampah kepadaku dan Kutu.
----------Tamat--------------

Jaya Ramba
Berita Harian
Sabtu 9 Oktober, 2010

Ditaip semula oleh Puan Norli Ahmad

P/s: Kredit kepada penulis dan Puan Norli Ahmad.

Sunday, June 12, 2011

Cerpen - Babi Buta Bo Kaap


(1)
“Ada baiknya, kita belajar dari nenek moyang!”
Abdul Wahid melontar suara ke bandaraya Kaapstad. Dari kawasan Bukit Signal, Kuarter Melayu Tanjung (Cape). Di Tana Baru yang menempatkan tanah perkuburan sejak ratusan tahun lalu.
“Saya belajar dari Tuan, dari sejarah, falsafah kepada Yakjuj Makjuj dan konspirasi Dajjal!”
Firdaus, datang dari Moskow menjawab sambil meninjau dua makam ‘keramat’. Makam Tuan Guru atau Imam Abdullah Kadi Abdus Salaam, seorang pangiran Kerajaan Tidore, Maluku, yang dibuang oleh kolonial Belanda ke Ceylon. Beliau kemudian dipindahkan ke Kaapstad dari 1780 hingga 1807. Yang kedua adalah makam Sayed Mogammad Darwis Alawie berasal dari Yaman.
Abdul Wahid tersenyum. Wajahnya tidak ubah seperti seorang pakcik Melayu di kampung nusantara. Bersih menampakkan keikhlasan. Sejemput janggut yang manis.
Terlalu banyak bagi Firdaus, mahasiswa perubatan itu pelajari dari lelaki separuh abad yang sentiasa berjenaka dalam menyampaikan cerita. Baharu dua hari bersama. Kata-kata penuh kebijaksanaan. Sesekali mengulang bahawa walaupun dalam kad pengenalan zaman Aparteid tertera bangsanya sebagai ‘Melayu’, dia tidak diterima sebagai orang Melayu oleh orang Melayu Malaysia. Membayangkan kesalan kerana katanya, apakah dosa mereka yang dibuang negeri oleh penjajah untuk tidak diterima lagi sebagai bangsa serumpun?
“Orang Melayu Malaysia anggap kami bukan Orang Melayu, kalau datang buat bisnes di sini pun tidak langsung memberi peluang kepada kami. Mungkin mereka sangka kami semua ini penipu, akhirnya ramai yang tertipu dengan Orang Putih, Orang India, atau Orang Hitam!”
“Mungkin juga kerana Orang Melayu Malaysia tidak mengetahui tentang keujudan peniaga dari kalangan Orang Melayu Tanjung!”
“Itulah, kena belajar dari nenek moyang, kalau datang kampung orang, ada caranya, bukan semberono!”
F irdaus mengangguk. Walau hati tidak begitu bersetuju kerana nenek moyang tidak semestinya betul dan orang-orang muda seperti dia kekadang jauh lebih berpengalaman dalam bidang tertentu. Banyak bangsa dan negara terjual oleh nenek moyang yang rakus dan haloba.
“Memang ramai nenek moyang kami datang dari kepulauan yang dipanggil Indonesia ketika ini, tetapi tiga ratus tahun lalu, mana ada Malaysia atau Indonesia? Bahkan ramai nenek moyang warga Malaysia juga berasal dari kawasan-kawasan seperti Sulawesi, Sumatera dan Maluku!”
Firdaus yang berasal dari Sabah mendengar bersama fikiran jauh melayang kepada kepulauan Sulu. Pernah satu masa kesultanan Sulu atau Sulug, atau juga Tausug menguasai keseluruhan kepulauan yang kini dipanggil Filipina. Nenek moyangnya berasal dari sana, semuanya sekadar sejarah masa silam.
“Kau lihat di bawah itu, kawasan De Waterkant!”
Firdaus menjenguk. Terasa syahdu dibuai bayu berpuput lalu. Perjalanan jauh dari Moskow ke Kaapstad menjadi satu kembara untuk menyertai kem para pemuda ‘Al Kahf’
“Kawasan elit untuk golongan gay yang berkembang di Kuarter Melayu kerana Orang Melayu Tanjung mahu keuntungan, menggadai warisan dan lebih malang, menggadai kepada golongan gay!”
Wajah Abdul Wahid cukup serius. Dan Firdaus merasakan bahang dari suara yang bernada kesalan bercampur marah.
(2)
Di kem pengakap Simonstad, kawasan penempatan lama Orang Melayu , Ryan Abdul Malik Fantuzi menghembus nafas. Jantung mengepam udara segar musim luruh, memberi kenikmatan. Bintang-bintang di langit memancarkan kelipan ke serata pandangan. Pemuda Amerika berusia 25 tahun yang datang bertandang sebagai peserta kem pemuda ‘Al Kahf’ itu merasakan ada sesuatu yang mengulit perasaan.
Dalam bangsal tempat makan, tidak begitu ramai yang masih berbual. Ramai sudah kembali ke dormitori.
Matanya sesekali pada gadis Orang Hitam dari bangsa Khoisan yang sedang membasuh pinggan mangkuk. Berbadan kecil dan tekun dengan kerjanya. Sesekali bernyanyi sendiri.
Apabila gadis Orang Hitam Khoisan itu tersenyum memandangnya, Ryan sama tersenyum. Itu sahaja. Walau dalam minda Ryan tersambar pelbagai persoalan. Antaranya itulah kali pertama dia bertemu Orang Hitam Khoisan, pribumi asal Afrika dan tidak seperti Orang Hitam lain yang menghuni bumi Amerika, ada kelainan ketara. Benarlah Tuhan telah menjadikan manusia pelbagai bangsa untuk saling mengenal sesama sendiri. Bayangkan semua manusia hanya berkulit putih, atau hanya berkulit hitam.
Ryan terus menyambung sembang dengan Mogamat, pemuda Melayu Tanjung yang menjadi koordinator kem. Mengenali tanah Afrika Selatan dari dekat, terutama setelah dimerdekakan dari sistem aparteid.
“Ekonomi masih terus dikuasai oleh Orang Putih, manakala Orang India terus menguasai peringkat pertengahan, manakala Orang Hitam dari segi politik dan pemerintahan negara. Kami Orang Melayu Tanjung yang termasuk dalam Orang Kulit Berwarna, semakin terpinggir!”
Hembusan angin mendesah. Ryan menjeling ke arah gadis Khoisan.
Semenjak datang di Kaapstad, perbualan di kem berkisar kepada rasisme dalam pasca-aparteid di bumi yang pernah bergolak. Di bumi yang pernah meriah sebagai tuan rumah peringkat akhir Piala Dunia 2010. Di bumi yang kaya dengan sumber alam.
“Tetapi Orang Cina yang sewaktu Aparteid tidak diklasifikasikan dalam mana-mana kategori, Orang Hitam, Orang India, Orang Putih atau Orang Berwarna menuntut di mahkamah untuk diklasifikasikan sebagai Orang Hitam!”
Terkejut Firdaus yang kebetulan mendengar curi perbualan Ryan dan Mogamad sambil cuba melayari Internet dari telefon bimbitnya.
“Apakah mereka menang tuntutan itu?” Firdaus menyampuk.
“Ya! Orang Cina Afrika Selatan adalah secara rasminya Orang Hitam! Mereka mendapat keistimewaan seperti mana pribumi Orang Hitam dan majoriti mereka menghuni kawasan elit Orang Putih! Mendapat yang terbaik di dua dunia, satu strategi bijak dan kini mereka kembali kepada identiti dengan belajar kembali bahasa Cina!”
Ryan tidak terkejut mendengar pendedahan Mogamad dan matanya menjeling ke arah gadis Orang Hitam Khoisan, bangkit dan menghantar pinggan.
Setibanya di tempat membasuh pinggan, Ryan mengucapkan salam. Tersenyum manis menyapa.
Terkejut gadis Orang Hitam Khoisan yang terasa tiba-tiba dihargai kerana yang lain sekadar meletakkan pinggan dan berlalu. Tiada yang lain menegur. Apalagi berbual.
(3)
Dr. Amira mengambil gambar sekitar perbukitan Faure, manakala Firdaus melihat jauh ke arah kawasan pertanian Macassar, yang asalnya bernama Zandvliet. Makam keramat Sheikh Yusuf Abul Mahasin Al-Taj Al-Khalwati Al-Makassari Al-Banteni yang berasal dari kepulauan Sulawesi dan orang yang membawa agama Islam ke Afrika Selatan. Dibuang negeri ke Kaapstad dalam tahun 1693 bersama 49 pengikut dengan kapal Voetboeg kerana menentang kezaliman Belanda. Ada tugu yang didirikan penjajah Inggeris mengenang jasa beliau. Mula-mula dibuang ke situ untuk mengelakkan Islam tersebar, akhirnya Zandvliet menjadi pusat dakwah pertama di Afrika Selatan.
“Orang yang tidak kenal sejarah, tidak kenal dirinya sendiri!”
Dr. Amira, pelajar graduan perubatan dari New York bercakap dengan penuh semangat.
“Kalau saya tidak datang ke kem pemuda Al Kahf ini, saya tidak tahu yang Islam dibawa ke sini oleh Orang Melayu!”
“Orang Melayu Indonesia!” Sampuk Abdul Wahid, sedikit mengejek.
Firdaus ketawa, sudah tahu Abdul Wahid pastinya cuba menekankan isu yang sama.
Mereka beredar dan Abdul Wahid membawa kedua tetamu dari Malaysia itu kembali ke rumahnya di Simonstad.
“Inilah Khayelitsha !”
Dr. Amira dan Firdaus terdiam menatap ke arah saujana kawasan yang dipenuhi oleh bangsal-bangsal. Seakan kandang kambing. Dengan zink sahaja. Ada yang tidak bertingkap, hanya pintu. Sampah merata-rata. Sukar untuk membayangkan yang mereka berada di kawasan yang sebegitu teruk keadaan fizikal dan prasana. Kata Abdul Wahid, bancian terakhir lebih dari satu juta manusia Orang Hitam menghuni di situ.
“Dalam bahasa Xhosa, Khayelitsha bermaksud Rumah Baru. 70 peratus tinggal dalam bangsal, satu pertiga tiada air, tandas semua di luar. Kawasan lama sewaktu era aparteid jauh lebih baik dari selepas Orang Hitam memerintah. Lihatlah, pemimpin Orang Hitam lebih teruk dalam kebajikan Orang Hitam!”
Suasana nampak sibuk dengan ramai manusia di mana-mana.
“Kawasan ini tidak selamat, tiada orang berani buka kedai. Bila-bila masa sahaja boleh kena rompak! Selepas aparteid, standard kehidupan semakin menurun dan jurang kaya dan miskin terus besar apabila kekayaan negara terus berada di tangan minoriti, terutama Orang Putih!”
“Apakah struktur aparteid masih tidak dirombak?”
“Bukan mudah untuk dirombak setelah hampir 50 tahun. Sekurangnya dua generasi dan hampir semua telah di brainwashed. Sehingga ramai Orang Hitam masih belum dapat menerima yang presiden Afrika Selatan adalah Orang Hitam, mereka masih bersedia menerima Orang Putih sebagai ketua. Bahkan untuk kami yang buat bisnes, Orang Hitam atau Orang Melayu Tanjung sukar untuk bekerja dengan mereka yang bukan Orang Putih!”
Firdaus tergelak. Tidak melucukan tetapi realiti yang seakan memutarkan sejarah ke masa kini. Mereka yang menjajah berjaya membasuh otak orang tempatan mengenai keunggulan Orang Putih. Sesuatu yang sama berlaku di tanahair.
“Zaman Aparteid dahulu, penekanan kepada segregasi fizikal mengikut warna kulit. Pendidikan umpamanya percuma kepada semua ke peringkat universiti, perumahan diberikan sewajarnya kepada setiap orang, malah jauh lebih baik dan murah. Dibeli dari kerajaan tanpa faedah. Yang kejamnya kerana adanya segregasi, Lihatlah mutu dan saiz rumah kami semasa dan selepas aparteid!”
Sambung Abdul Wahid sebaik tiba di perkarangan rumahnya.
“Hari ini selepas habis Piala Dunia, kami penghuni Kaapstad terpaksa membayar bil lebih tinggi untuk air dan api kerana kerajaan menanggung hutang dari pembaziran menjadi hos. Stadium-stadium yang dibina berharga berbilion Rand sekarang semuanya menjadi gajah putih dan pengangguran terus meningkat, maka jenayah juga meningkat!”
Melihat keadaan sekeliling kawasan rumah Abdul Wahid, kedua anak muda itu seakan berada di salah sebuah kawasan luar bandar di mana-mana nusantara.
(4)
Ryan dapat mengagak yang Goitsemedime, gadis Orang Hitam Khoisan itu mula menunjukkan sedikit perubahan, sudah mesra.
“Apakah ada makna nama Goitsemedime itu?”
“Hanya Tuhan yang tahu!”
Ryan tergelak sambil berlalu kembali ke arah meja makan, menyambung perbualan berkaitan Yakjuk Makjuk. Tema kem pemuda Al Kahf, satu kumpulan anak-anak muda dari pelbagai negara yang membicarakan persoalan realiti dunia. Berkaitan dengan tafsiran surah Al Kahf dalam kehidupan terutama buat para pemuda bagi menangani kemelut dan krisis dunia. Baik dari segi politik, kewangan yang dipenuhi riba, bencana yang semakin mengorbankan nyawa dan juga kedatangan Imam Mahadi.
Dari perbincangan dengan maulana Imran yang pernah menjadi mufti Trinidad itu, mereka bersetuju yang ada keperluan untuk keluar dari suasana kehidupan masa kini, dan mencari tempat perlindungan, seperti cerita pemuda dalam surah Al Kahf. Di era fasad dan Dajjal, pemuda sebagai penggerak revolusi mesti melihat keadaan semasa dari perspektif yang berteraskan Quran dan hadis.
“Gadis itu bercakap mengenai Tuhan!”
Bisik Abdul Majid, pemuda dari Kongo.
“Itulah, bayangkan yang kita berkumpul bercakap mengenai dakwah dan sebagainya, kenapa tidak cuba menghampiri mereka yang berada di keliling kita?” Ujar Ryan, pemuda Detroit yang baharu setahun memeluk agama Islam, walau sebelum itu pernah menjadi seorang yang cukup anti dengan orang Islam selepas September 11. Mahu membakar Quran sehingga hidayah dari seorang yang menyampaikan salam kepadanya, menyebabkan dia mula mencari makna salam secara lateral.
Pemuda lain terdiam. Ramai yang lahir sebagai orang Islam yang tidak pernah pula mahu menjadi pendakwah. Ramai yang perasan mereka pandai dan tidak perlu belajar lagi.
“Malah di Detroit, ramai orang Islam masih dalam asobiyah. Mementingkan bangsa dan komuniti sendiri. Semua mahu membina masjid sendiri!”
“Sama seperti di Kaapstad, masjid dibina bukan kerana taqwa, tetapi kerana pergaduhan dalam perkara-perkara remeh seperti mazhab dan untuk dana!”
Mogamad menyampuk.
Masing-masing terus berhujah dalam lingkaran asobiyah, sesuatu yang menarik kerana ada 32 bangsa berkumpul di kem itu dan sudah menunjukkan perselisihan dari segi fahaman feqah.
Ryan menjeling ke arah Goitsemedime.
Goitsemedime tersenyum. Sudah habis mencuci pinggan.
Ryan bangkit dan mendekati.
“Benarkah Goitsemedime bermakna hanya Tuhan yang tahu dalam bahasa Xhosa?”
Goitsemedime mengangguk.
“Nama yang baik!”
“Dalam ramai-ramai yang berada di kem ini, hanya kamu sahaja yang memberi salam dan menegur saya!”
Ryan tersenyum. Misinya sudah hampir ke matlamat. Sampaikan walau satu ayat dan dia telah bermula dengan salam.
(5)
“Kami memang sudah kehilangan jatidiri kerana kehilangan bahasa, betullah bahasa jiwa bangsa!”
Terdengar suara Abdul Wahid sebaik keluar dari muzium kecil Bo Kaap. Muzium yang mempamirkan khazanah tinggalan Orang Melayu yang dibawa ke Afrika Selatan sebagai hamba abdi dan tahanan politik.
“Hanya beberapa perkataan yang tinggal, ada yang berlainan maksud!”
Dr. Amira dan Firdaus mendengar sambil melihat-lihat ayam panggang di jalan Dorp, berhampiran masjid Al awal, masjid pertama Kaapstad. Dengan latarbelakang Gunung Table.
“Bukan kami mahu melupakan bahasa sendiri, cuma kami dipaksa kerana Orang Putih menyangka yang kalau bahasa Melayu dihapuskan, agama Islam boleh juga dihapuskan. Sebab itu penting untuk belajar dari nenek moyang, kenapa Melayu itu dikatakan Islam, jangan kata bangsa tidak penting dalam Islam!”
Abdul Wahid tahu yang Firdaus masih tidak begitu bersetuju kerana nenek moyang bangsa Sulu yang menyebabkan kejatuhan bangsanya sendiri. Menyebabkan generasi bangsa Sulu bukan sahaja kehilangan sejarah, malah identiti. Walau ada yang mengatakan bangsa Sulu sudah Islam sebelum Nabi Muhammad lagi.
“Saya sudah beritahu yang perkataan seperti babi dan buta mempunyai maksud yang berlainan setelah ratusan tahun, bukan?”
Dr. Amira tidak dapat menahan gelak apabila mendengar Abdul Wahid berkata, “Perkataan Kafir yang digunakan beratus tahun untuk Orang Hitam oleh Orang Melayu Tanjung sudah menjadi perkataan menghina oleh perundangan selepas aparteid berakhir dan siapa yang memanggil Orang Hitam sebagai Kafir, boleh didakwa di mahkamah!”
Firdaus cuba memahami kerana pertama kali mendengar.
“Orang tua seperti saya, yang makan riba kerana menipu pelanggan kalau menjual di Bo Kaap ini dipanggil apa?”
Sebenarnya Abdul Wahid mempunyai makna tersirat dari perkataan yang sudah bertukar makna. Dia maksudkan secara literal. Sesuatu yang Dr. Amira sendiri terperangkap.
“Babi buta di Bo Kaap!”
- Tamat -

Glosari:
Kaapstad – Cape town
Simonstad – Simon’s Town
Mogamad – Mohamad
Babi – Peniaga kurang jujur di belakang kaunter
Buta – Orang tua

Fudzail
Ahad 12 Jun, 2011
Berita Minggu

P/s: Kredit kepada penulis.

Thursday, June 2, 2011

Cerpen - AL-KISAH SEBUAH PERKUMPULAN ELIT

Wang ringgit tidak akan pernah melahirkan apa-apa idea. Sebaliknya idealah yang selalu menjana kekayaan. Patah kata Owen Laughlin, “Money never starts an idea. It is always the idea that starts the money.”

Justeru ini adalah sebuah kisah. Alahailah ceritera tentang dua orang rakan. Sahabat karib yang memusatkan idea, konon untuk menjana wang ringgit berjuta-juta banyaknya. Menurut sesetengah orang, katanya ini cerita bohong semata-mata; sedang menurut sesetengah yang lain pula, kononnya ini cerita didasarkan kepada kisah nyata. Tidaklah diketahui yang mana betul dan yang mana tidak.

Segalanya bermula ketika Pian, seorang pekerja bank dan Adam seorang peguam, tiba-tiba meletak jawatan daripada pekerjaan masing-masing, lantas menjadi penganggur sepenuh masa. Maka pada suatu petang yang damai, mereka berdua pun duduklah di rangkaian sebuah kedai kopi berjenama antarabangsa di tengah-tengah ibu kota. Mereka berborak, berborak panjang; mereka mengadu nasib. Tentang ekonomi yang semakin menghimpit, tentang kehidupan yang semakin sempit, tentang pekerjaan yang penuh tekanan, tentang gaji yang tidak berbaloi dan tentang harga barangan yang mencanak naik.

“Pada zaman ini,” begitu kata Pian setelah menghirup Cappuccinonya barang secicip, “graduan universiti yang masuk bekerja sebagai eksekutif diperlakukan semacam kuli buruh murahan. Disuruh bekerja tanpa mengira siang dan malam – kalau tidak, nanti dituduh pemalas dan konon tak giat berusaha cari pengalaman – sedangkan gaji yang diberikan hanya seciput!”

“Dengan RM2,000 – RM2,500 sebulan,” begitu keluh Adam pula, “manakan cukup nak bayar kereta, perlu bayar rumah, kena bayar api air lagi dan tak lupa juga kewajipan hantar wang pulang ke kampung setiap bulan. Alahai, kos hidup sekarang bukannya murah. Manakan lagi nak cari duit kalau kereta tiba-tiba rosak atau diri tiba-tiba jatuh sakit dan perlu ke hospital atau kalau tiba-tiba ada kemalangan di luar duga? Manakan lagi nak beli beli pakai dan makan? Manakan pula nak buat simpanan untuk hari-hari mendung?”

Keran a itulah mereka berdua akhirnya memutuskan untuk berhenti bekerja.
Dan kini mereka cuba memusatkan idea: “Kita perlu lakukan sesuatu,” kata Pian agak menegaskan, “cari jalan dengan kemahiran yang ada, dengan pengalaman yang terkumpul, kita mesti cipta peluang untuk buat duit. Kita tak boleh selamanya menyerah pada sistem yang tak adil. Belajar tinggi-tinggi sampai ke menara gading, tapi bila keluar, disuruh kerja macam abdi. Kehidupan tambah menghimpit setiap hari. Tak ada waktu bahkan untuk mengurus diri sendiri, kerana jadual yang sendat – keluar rumah sebelum matahri terbit dan balik ke rumah ketika tengah-tengah malam buta,” kata Pian kembali.

Mereka terus berbual, sesekali borak kosong, sesekali bicara berisi dan minuman dalam cawan masing-masing yang pada asalnya penuh, surut menjadi separuh, kemudian susut lagi sampai menjadi kosong sepenuhnya. Kedai kopi itu pula yang tadinya pula agak lengang kini mulai diisi orang, semuanya baru pulang dari pejabat. Jam sudah menunjukkan 6 petang. Ketika itulah mereka tiba-tiba mendapat suatu idea untuk menubuhkan sebuah grup elit.

“Tapi bukan grup sebarangan,” begitu kata Adam menekankan, “sebaliknya grup rompakan.”

Pian kelihatan mengerutkan dahi, barangkali masih tidak mengerti. “Rompakan?”
“Ya, tapi bukan grup rompakan sebarangan,” lanjut Adam lagi, “sebaliknya grup rompakan elit yang profesional. Katakan kita namakan ia Perkumpulan Perompak Seantero Malaysia yang Inteligen – atau singkatannya PPSMI.”

“Hah?” Pian melopongkan mulut, tercengang alangkah tercengang, tentunya dia tak percaya.

Justeru, Adam pun menerangkan dengan lebih lebih rinci. Dalam grup PPSMI itu nanti, begitu terang Adam, rompakan tidak akan dijalankan dengan cara yang sama seperti perompak-perompak lain. Sebaliknya akan menggunakan sepenuhnya kemahiran dan pengetahuan setiap daripada ahli grup. Setiap orang dalam bidangnya yang masing-masing akan menyumbangkan kepakaran untuk melicinkin aktiviti merompak harta kekayaan orang lain.

“Lantas apa yang ingin kita rompak?”
“Bank,” jawab Adam pantas sebelum menyambung lagi, “dan apa-apa saja institusi kewangan lain. Pokoknya semuanya yang boleh memberikan kekayaan. Apa saja yang ada nilai wang ringgit di dalamnya.”

“Dan kalau tertangkap, bagaimana?” Jelas sekali Pian masih belum pasti. Soalnya, merompak adalah suatu jenayah berat. Betapapun sukar keadaan dan betapapun menekan kehidupan, Pian belum sampai sebegitu terdesak untuk memilih jalan sedemikian. Melainkan – ya, melainkan – kalau dia dapat diberi kepastian dan keyakinan.
Maka itulah yang dilakukan oleh Adam, cuba meyakinkan Pian: “Kau adalah bekas pekerja bank. Justeru kau ada kepakaran, atau sekurang-kurangnya pengertahuan tentang selok-belok keselamatan dalam bank. Aku pula bekas peguam. Justeru kalau ada di kalangan kita yang tertangkap, aku tahu selok-belok kelompongan dalam undang-undang yang boleh kita manfaatkan untuk lepaskan diri; malah kalau perlu, tak ada masalah untuk aku putar belitkan sebarang peruntukan perundangan untuk kepentingan grup PPSMI. Justeru kau tak perlu risau tentang itu.” Diam yang agak panjang sebelum Adam menyambung lagi, “Inilah yang aku maksudkan dengan PPSMI yang profesional. Kita gemblengkan kemahiran untuk merompak dan menggayakan diri dan juak-juak kita.”

Segarit kecil kelihatan tertarik pada bibir Pian. Mereka berdua memesan lagi minuman tambahan. “Idea yang menarik,” kata Pian, “tapi memerlukan perancangan yang benar-benar teliti. Sebab ini soal besar. Ini soal bahaya. Tak boleh dibuat main-main.”

“Indeed,” balas Adam dengan telor dibuat-buat, “it is a very dangerous plan. Tapi semuanya akan berbaloi bila kita menjadi kaya raya nanti.”

Mereka berdua tertawa. Azan berkumandang dari masjid berhampiran. Sedikit sayup beralunan. Suasana kedai kopi itu semakin ramai, tampaknya kebanyakannya eksekutif muda yang pulang dari pejabat – sebelum pulang ke rumah, singgah bersantai di kedai kopi. Lagu instrumental terus dimainkan menerusi corong suara kedai itu. Tingkah meningkah alunannya dengan merdu suara azan di luar. Latar pencahayaan kekuningan yang malap memberikan suasana nyaman dan cosy. Kontras dengan remang senja di luar. Minumam mereka sampai. Adam dan Pian mencicipnya perlahan.

“Selain aku bekas pekerja bank,” kata Pian, “dan kau bekas peguam, siapa lagi agaknya kita perlukan? Kalau menurut perancangan kau, berapa ramai semuanya yang harus kita rekrut untuk grup PPSMI itu nanti?”

Adam kelihatan berkira-kira barang sebentar, sebelum kemudiannya bersuara: “Kalau menurut kau bagaimana? Kau tentu lebih tahu selok-belok sistem keselamatan dalam bank. Individu-individu dengan kepakaran apa saja yang kita perlukan?”

“Kita perlukan sekurang-kurangnya seorang pakar IT,” kata Pian.
“Seorang jurutera juga.”
“Untuk apa jurutera?”
“Untuk memecah masuk pintu kebal.”
“Itu mekanik atau tukang pun sudah memadai.”
“Tapi kita kan mahu sebuah grup yang profesional. Jadi biarlah yang ada kelayakan tinggi. Bukan sekadar kepakaran vokasional.”
“Oh, betul juga.”
“Lagi?”
“Arkitek?”
“Pelan keselamatan dalam bangunan bank biasanya sangat rumit. Justeru kita perlukan seseorang yang boleh membaca pelan dengan teliti dan kemudian merancang pergerakan berdasarkan struktur bangunan bank yang ingin dirompak.”
“Oh, betul juga.”
Mereka terus berkira-kira mencongak perencanaan.
“Akauntan.”
“Untuk apa?”
“Mahu berkira-kira hasil yang dirompak itu nanti.”
“Lagi?”
“Pakar CSI”
“Apa tu?”
“Crime Scene Investigation – siasatan lokasi jenayah.”
“Untuk apa pula? Kita bukan hendak jadi polis dan siasat kes apa-apa.”
“Ya, tapi kita perlukan pengetahuan dalam teknologi CSI terkini, supaya kita boleh hapuskan sebarang jejak bukti setelah selesai melakukan setiap rompakan nanti.”
“Oh, betul juga. Lagi?”
“Kalau boleh,” cadang Pian dengan serius, “biarlah semua ahli grup PPSMI itu nanti dari kalangan mereka yang pandai berbahasa Inggeris.”
“Hah,” Adam sedikit tercengang, “kenapa pula?”
“Ya lah, kalau tak pandai berbahasa Inggeris, nanti macam mana nak buat kerja secara profesional. Macam mana nak jadi perompak yang profesional.”
“Tapi apa kena-mengena bahasa Inggeris dengan perancangan untuk merompak secara profesional?”

“Banyak kaitannya,” balas Pian. “Berdasarkan pengalaman bertugas selama lebih tiga tahun di bank, aku lihat kebanyakan rompakan yang gagal adalah kerana perompak tidak faham – atau tidak fasih – berbahasa Inggeris. Mereka biasanya terdiri daripada individu-individu yang tidak begitu terdedah kepada persekitaran berbahasa Inggeris. Kebanyakannya datang dari kampung-kampung atau pinggir-pinggir bandar kecil. Apabila datang ke bandar besar, mereka begitu sukar hendak mencari pekerjaan. Lantas, sebagai jalan terdesak, rompakan bank menjadi jalan pilihan. Tapi sayang sekali, kerana tak fasih berbahasa Inggeris, akhirnya mereka tertangkap dan merengkok di penjara.

“Kau tahu, untuk kita merompak sesebuah bank, kita perlu pecah masuk kawalan pintu besi bank. Sistem kawal pintu besi ini menggunakan bahasa Inggeris sepenuhnya. Begitu juga dengan jejaring pentadbiran keselamatan, semuanya adalah dalam bahasa Inggeris. Kalau ahli-ahli grup PPSMI itu nanti tidak pandai – atau lemah – dalam bahasa Inggeris, bagaimana mereka hendak menjalankan rompakan secara profesional dan efisen. Terutamanya untuk pakar IT dan jurutera grup kita nanti, mereka perlu benar-benar menghayati bidang dalam bahasa Orang Putih agar dapat menjadi perompak yang berwibawa. Kalau tidak, tentu sekali kita akan begitu mudah terdedah kepada risisko tertangkap. Kita akan hanya menjadi perompak murahan, andai begitu.
“Selain itu,” Pian tampaknya belum habis memberikan hujahnya yang panjang lebar, “kalau ahli grup PPSMI itu nanti tidak pandai – atau lemah – dalam bahasa Inggeris, bagaimana mereka hendak menghitung hasil rompakan dengan tepat?”

“Ah,” pintas Adam, “tak ada perkaitan apa-apa antara menghitung hasil rompakan, dengan kebolehan berbahasa Inggeris.”

“Banyak kaitannya,” tegas Pian pula, “untuk menghitung-kira dengan baik, kita perlu berbahasa Inggeris. Kalau sekadar berbahasa Melayu saja, tentu sekali nanti hasil hitungan menjadi tidak tepat. Lalu pembahagian kekayaan hasil rompakan antara sesama kita pula akan menjadi tidak seimbang. Justeru kalau benar kita hendak menjalankan operasi secara besar-besaran melalui sebuah sistem yang efisen dan berkesan, maka kita perlukan mereka yang mengira dan berfikir dalam bahasa Orang Putih, bukan menghitung dan berfikir dalam bahasa Melayu.”

Adam mengerutkan dahi. Tetapi hanya diam. Berfikir panjang barangkali. Lagu instrumental terus turun naik. Haruman kafeina daripada minuman mengapung-apung merangsang perasaan yang mujarad. Keadaan di luar, seperti yang terlihat dari jendela kaca kedai kopi itu, semakin remang. Langit diwarnai kemerah-merahan yang memukau bagai sebuah catan karyawan impresionis.

“Hmmmh,” keluh Adam akhirnya, “kalau begitu nampaknya kita hanya boleh merekrut ahli untuk grup PPSMI dari kalangan yang tinggal di kawasan-kawasan bandar saja. Kerana individu-individu di bandar lebih terdedah kepada persekitaran berbahasa Inggeris berbanding mereka yang di pedalaman. Masyarakat kosmopolitanlah katakan.”

Nah, akhirnya, setelah perbincangan yang panjang itu, kata sepakat pun mereka capai: bahawa mereka akan merekrut pakar-pakar IT, jurutera, arkitek dan akauntan untuk bersama-sama dalam grup PPSMI. Misi mereka hanya satu: yakni untuk jalankan rompakan secara bersistematik dan mengaut keuntungan sebanyak-banyaknya. Untuk mencapai matlamat itu, penekanan diberikan kepada hakikat bahawa bahasa rasmi untuk merompak adalah bahasa Inggeris. Penggunaan bahasa Melayu dilarang sama sekali.

Mereka bangun, bersalaman, membayar hasil minuman mereka tadi, lalu beredar pergi dengan semangat kuat untuk menjadi perompak.

Aidil Khalid
Ahad, 29/5/2011
Berita Miinggu

Ditaip semula oleh Puan Norli Ahmad

P/s: Kredit kepada penulis dan Puan Norli Ahmad.

Wednesday, June 1, 2011

Artikel - Abai suami sendiri, rindu suami orang

SAYA sebenarnya isteri bertuah tetapi tidak tahu menghargainya. Saya berkahwin hampir tujuh tahun lalu dan mempunyai dua anak.

Suami saya baik, penyayang dan sangat mencintai saya, baik dengan anak, tidak pernah tinggal solat, malah boleh saya katakan dia memiliki ciri-ciri suami yang susah dicari pada zaman ini.

Pada saat kawan lain merungut dan kecewa dengan sikap suami masing-masing yang bermata keranjang, panas baran dan pelbagai sifat negatif lain, saya hanya tersenyum dan bertuah kerana suami tidak bersikap sebegitu.

Segala-galanya berubah apabila saya menghubungi kenalan pada zaman sekolah yang saya panggil Z melalui facebook (FB). Pada awalnya, saya cuma ingin bertanya khabar tetapi semakin lama semakin melarat.


Betul kata seorang ustaz, bila umpan syaitan sudah mengena, yang haram dianggap halal. Daripada berhubung melalui mesej di FB, hubungan kami melarat melalui telefon dan sesekali bila ada peluang, kami berjumpa di luar.


Saya tidak segan lagi mengucapkan perkataan rindu, sayang dan ingin hidup bersamanya. Biasanya kami berhubungan pada tengah malam ketika orang lain tidur. Saya sering memberi alasan kepada suami yang saya lambat tidur untuk menyiapkan kerja pejabat.

Saya mula mengabaikan keperluan batin suami. Saya benar-benar bahagia. Dalam sehari, tujuh hingga lapan kali saya menghubungi Z kerana merinduinya. Saya juga rela menghabiskan wang untuk membayar bil telefon kerana biasanya kami bergayut lama setiap kali ada peluang.

Hubungan ini akhirnya dapat dikesan isterinya. Walaupun isterinya merayu supaya tidak mengganggu suaminya, saya tetap teruskan hubungan ini.

Akhirnya perkara ini sampai juga ke pengetahuan suami saya. Ketika membasuh kereta saya, suami terjumpa sampul surat mengandungi foto Z dan surat cintanya. Suami saya hampir pengsan apabila membaca surat berkenaan.

Dia langsung tidak menyangka saya tergamak berbuat begitu padanya. Malah, suami tidak boleh menerima kenyataan saya sanggup memusnahkan rumah tangga orang lain.

Sejak itu, saya benar-benar insaf. Sikap suami terhadap saya mula berubah walaupun sikapnya dengan anak masih sama. Saya juga tidak lagi menghubungi Z selepas itu.

Saya juga beberapa kali menangis di depan suami untuk meminta maaf daripadanya. Walaupun mulutnya berkata maaf, saya tahu dalam hatinya dia belum memaafkan saya.

Suami semakin menjauhi saya dan sering tidur bersama-sama anak. Tolonglah saya Dang Setia, saya benar-benar bertaubat.

Saya tidak mahu kehilangan suami. Dia terlalu baik kepada saya. Kepada pembaca lain, jadikan kisah saya sebagai pengajaran. Kini saya merindui senda gurauan suami. Sehingga hari ini saya belum dapat memaafkan diri saya.

SITI
Kelantan



Dang Setia bukan anti teknologi maklumat (IT) termasuk laman sosial seperti FB dan twitter, tapi laman sosial seperti itu terlalu banyak menghancurkan rumah tangga pada zaman serba moden ini.

Ini berlaku kerana kita, sebagai manusia, lalai dan menggunakan kemudahan itu pada jalan salah. Laman sosial itu ada juga kebaikannya seperti membantu mengesan semula teman lama, sekali gus merapatkan silaturahim di antara umat Islam, terutama sesama jantina.

Namun apabila disalah guna, kemudahan itu boleh menjadi racun. Sebagai contoh, percubaan mengesan semula kekasih lama atau ‘teman tapi mesra’ sedangkan kita sudah bersuami atau beristeri. Itu namanya mencari pasal.

Apa lagi jika FB dijadikan wadah untuk meluahkan perasaan, terutama masalah rumah tangga. Lama-kelamaan, tidak mustahil si lelaki atau si wanita terpikat sesama sendiri kerana kesudian menjadi pendengar setia, atau bijak memberi pendapat.

Apapun, mujur puan menyedari kesilapan besar puan, itupun selepas ‘tertangkap’ dengan suami yang terjumpa surat cinta Z ketika membasuh kereta puan.

Tanyalah lelaki mana sekalipun, ‘luka’ itu sangat pedih dan dalam. Isteri yang selama ini dijunjung tinggi, nampak baik dan sopan di depan mata, rupa-rupanya bercinta dengan suami orang di belakang.

Luka yang dalam tidak akan sembuh sehari dua, sebaliknya mengambil masa berminggu-minggu atau berbulan-bulan untuk pulih sepenuhnya. Begitu juga hati suami yang lazimnya keras, apatah lagi tertipu dengan lakonan isteri.

Apa yang boleh puan lakukan sekarang adalah perlahan-lahan cuba mengambil hatinya semula. Kembali kepada perwatakan asal puan, jadi isteri terbaik untuk suami dan ibu terbaik untuk anak.

Pada masa sama, perbanyakkan solat taubat dan hajat, memohon kepada Allah untuk kembali membuka hati suami supaya menerima puan seperti sedia kala.

Insya-Allah, jika suami yakin puan benar-benar berubah, dia akan menerima semula puan seperti dulu, apatah lagi jika cintanya terhadap puan masih utuh.


Sumber : http://www.hmetro.com.my/articles/Abaisuamisendiri_rindusuamiorang/Article


P/s: Kredit kepada Dang Setia dan Harian Metro.