Sunday, June 27, 2010

Puisi - Ego Sebutir Pasir

Ego Sebutir Pasir

(Mingguan Malaysia 6 Disember 2009)

gurun sayup berkelipan
dari gerak sang pemimpi
melebar denyut nadi kapitalis
gah membina struktur dan ikon
sebagai perhiasan kemilau
peradaban kaca, batu-bata
megalomania menjerat ruang
bersama keringat pendatang
menghujan kemewahan
diantara nestapa yang bertimbun
sebagai sampah di lorong belakang
kehidupan kosmopolitan

gurun subur menghijau
tasik dan sungai merentas
ke laut pun tumbuh
pulau-pulau katarsis
perlambangan pembangunan fizikal
tiada perbandingan nilai
gah mencakar langit
dalam kehidupan superfisial
ilusi pun melakar sejarah

kilat menyambar gurun fatamorgana
tiba-tiba ego sebutir pasir
berderai terhempap ke bumi
walau sayap terbang tinggi
terkandas kaki di permukaan
di tarik lanskap realiti
graviti pasaran terbuka
yang tidak kenal darjat
dan tidak peduli maruah
pada estetika yang mencalar
warna-warna kabilah!

Fudzail
Dubai, UAE
1 Dis 2009

P/s: Kredit untuk saudara Fudzail (http://1426.blogspot.com/2009/12/ego-sebutir-pasir.html)

Saturday, June 26, 2010

Cerpen - Kasut Tutankhamun

Kasut Tutankhamun

(Mingguan Malaysia 19 April 2009)

Sebaik membayar tiket, kami bergegas ke dalam dewan mumia diraja. Terletak disebelah kanan atas Muzium Kaherah. Terlentang dua belas jasad mumia dari keluarga Firaun. Usia pengawetan yang mencecah ribuan tahun.

Muhaimin kelihatan teragak-agak. Gementar buat seorang anak kecil yang baru berusia 10 tahun untuk berdepan sendiri dengan mumia. Bukan lagi dalam adegan sebuah filem, siri kartun atau pembacaan yang menguasai imaginasi.

Mumia dalam balutan asal terlentang di depan mata. Menakutkan buat yang lemah semangat. Masih lengkap semua anggota badan yang zahir.

Manakala dua abangnya, Saifullah, 16 tahun dan Faidhi, 15 tahun terus sahaja meluru memerhati rapi mumia dalam cermin. Membaca setiap catatan. Penuh minat.
Muhaimin bergerak ke arah ibunya. Berbisik.
“Mana mumia Tutankhamun?”
Ibu tersenyum. Muhaimin terus teruja dengan kehebatan Raja Tut, yang menjadi Firaun diusia sebaya Muhaimin dan mati dalam usia sebaya Saifullah. Sesuatu yang mungkin menarik minat ketiga mereka. Firaun berusia belasan tahun.
Sejak tiba di Kaherah, Muhaimin suka mendengar cerita Saifullah dan Faidhi tentang kehebatan dan kekayaan Firaun muda itu. Mungkin fikiran Muhaimin tidak henti membayangkan Raja Tut sejak pulang dari melawat dan masuk dalam piramid. Yang kosong tanpa mumia. Menghampakan biar terpaksa menaiki tangga dan lorong sempit untuk ke puncak piramid.
“Mumia Raja Tut tiada di sini. Masih berada di Lembah Raja-Raja di Luxor. Nanti kita pergi ke sana. Di muzium ini hanya ada khazanah peninggalan Raja Tut, kita melawat selepas ini!”
Mumia para keluarga Firaun yang pernah dianggap tuhan itu memaparkan sejarah kuno Mesir. Keagungan dari keangkuhan yang tersisa sebagai peringatan kepada para manusia ribuan tahun kemudian. Manusia moden yang terus datang untuk melawat mumia Firaun dan sisa kegemilangan. Para pelancung terus terpaksa tunduk untuk sekadar masuk ke makam dalam piramid. Seakan tunduk menghormati firaun secara simbolik.
Jutaan pelancung datang ke Mesir kerana firaun. Rezeki anak cucu cicit firaun melimpah dengan peninggalan makam dan sisa-sisa peradaban. Sehingga banyak tempat-tempat sejarah aulia yang dilupakan. Walhal, Mesir bukan sekadar firaun. Mesir juga mempunyai nabi dan sejarah kegemilangan Islam.
Kami beredar ke bahagian pameran harta karun Tutankhamun. Semuanya masih lengkap sewaktu ditemui dalam tahun 1922, tidak berubah seperti mana ditinggalkan ribuan tahun dahulu. Tidak dicuri oleh pencari harta karun atau dibawa keluar dari bumi Mesir.
“Berapa agaknya nilai harta Raja Tut waktu ini?” Tanya Saifullah kepada saya. Sememangnya khazanah dalam muzium Kaherah itu sendiri terlalu tinggi nilai sejarah dan nilai wang ringgit.
“Billion hingga trillion ringgit!” Saya menjawab dalam kekaguman. Kagum dengan peradaban firaun. Kagum walau terkilan kerana Mesir dan rakyatnya pada hari ini jauh ketinggalan dalam serba serbi berbanding nenek moyang mereka. Ada sesuatu yang tidak kena. Seuatu yang boleh dibuat pengajaran.
Datang dan pergi peradaban dan empayar hebat di muka bumi. Hari ini Amerika berkuasa, tetapi dengan kegawatan ekonomi, Amerika mungkin akan jatuh dan diganti dengan kuasa besar baru. Mungkin China, mungkin India. Mungkin juga, Israel yang memperkudakan Amerika. Atau mungkin salah satu negara Islam. Tetapi saya tidak dapat mencari negara mana dalam situasi semasa.
Tentu tidak Mesir. Bangunan-bangunan baru yang tidak sehebat piramid dan kuil-kuil kuno. Kemiskinan yang menjadi sebahagian dari wajah mesir moden. Budaya temberang yang mewarnai kehidupan. Orang-orang Mesir sudah dimakan sumpah Firaun. Mereka tidak akan bangkit lagi. Terutama selagi menjadikan Israel sebagai sahabat dan mengenepikan Palestin.
“Abah, tengok kasut Raja Tut!”
Muhaimin menarik saya. Faidhi sama mengikut. Manakala Saifullah dan ibu masih dalam dewan yang dipenuhi barang-barang kemas kepunyaan Raja Tut. Bersama kilauan emas, perak dan berlian mengerlip.
Saya sama kekaguman melihat kasut bersalut emas bertatah berlian yang pernah dipakai oleh Firaun itu.
“Pada masa orang-orang Mesir sudah memakai kasut dan membina ratusan piramid, sebahagian besar dari Eropah, Amerika dan Asia masih tinggal dalam gua-gua berbogel, masih makan orang!” Saya berkata perlahan. Pada diri sendiri.
Peradaban kuno Mesir memang hebat. Tetapi kufur dan penuh kezaliman. Keadilan mengikut selera firaun. Tiada hak untuk rakyat selain sebagai hamba. Sesuatu yang terus berulang walau dibawah payung demokrasi yang dipenuhi autokrasi seorang diktator, nama lain untuk firaun moden.
Semuanya menjadi pengajaran buat mereka yang mahu berfikir. Malah bumi Mesir juga telah dihadirkan dengan para Nabi serta aulia. Terus subur diairi sungai Nil yang terus mengalir songsang ke utara.
“Kenapa Raja Tut mati dalam usia muda?” Muhaimin tiba-tiba bertanya. Matanya masih pada kasut Tutankhamun dalam cermin di dinding.
“Mungkin dibunuh. Ramai yang mahu menjadi raja dikalangan bapa saudaranya!” Jawab Saifullah yang tiba-tiba juga muncul bersama ibu.
‘Pembunuhan kerana kuasa dan tamak berlaku sejak Habil dan Nabil. Bergaduh sehingga berbunuhan sesama adik beradik kerana harta juga!” Ibu bersuara, biar sedikit lari dari topik perbincangan. Mungkin untuk memberi ingatan kepada ketiga-tiga anak lelaki yang selalu juga bergaduh kerana perkara-perkara kecil.
“Itu salah satu teori yang dikemukakan. Penemuan terbaru mengatakan Raja Tut mati kerana luka oleh gangren, bukan dibunuh!” Sampuk Faidhi yang bercita-cita mahu menjadi seorang doktor. Membetulkan cermin mata untuk meneliti kasut Tutankhamun.
Keduanya banyak mendapatkan pelbagai maklumat melalui enjin carian Google dan Wikipedia.
Kami membiarkan perbincangan mereka yang merangkumi sejarah yang sebenarnya turut diselitkan dalam Quran. Sesuatu yang mengambarkan relevannya Quran sepanjang zaman sebagai mukjizat.
“Walau apapun, apa sahaja teori mengenai kematian Raja Tut tidak penting lagi. Hari ini, Raja Tut menjadi legasi dan dia salah seorang Firaun yang terus dikenali. Sehingga kita masih sempat melihat kasutnya!” Saya cuba mengalih pandangan kepada satu perkara kecil dalam kehebatan khazanah Raja Tut.
Sepasang kasut.
Muhaimin mengangguk, memang dia cukup teruja dengan kasut Tutankhamun. Untuk seorang anak lelaki yang terpengaruh dengan kasut-kasut jenama sukan yang dipakai oleh bintang-bintang bolasepak dunia, selera Muhaimin pada kasut sama seperti Saifullah dan Faidhi. Kilauan kasut-kasut yang mengambarkan status dan kadang-kala nilai harga diri manusia.
Kasut-kasut mereka lebih mahal dari kasut saya sendiri, seorang ayah yang tidak pernah berkasut jenama terkenal. Yang masih sahaja diulit memori tentang zaman anak-anak dahulu tidak berkasut ke sekolah. Kemiskinan yang menyuntik semangat buat pemilik sepasang kaki ayam untuk lebih jauh melangkah dari generasi terdahulu. Duri dan batu-batu jalanan telah mengeraskan semangat untuk perubahan, untuk keluar dari kemiskinan.
“Kasut abah yang paling mahal pernah dibeli sewaktu berusia Tutankhamun, waktu itu berharga RM30 berjenama ‘Power’, sebaik dapat masuk ke tingkatan empat sekolah berasrama penuh!” Saya kembali bernostalgia didepan kasut Tutankhamun yang mungkin sudah bernilai puluhan jutaan ringgit.
Tidak mungkin saya boleh melupakan sepasang kasut hadiah dari aruah ayah. Yang dibeli dengan berhutang. Dibeli kerana aruah tahu saya cukup inginkan kasut itu. Masuk sekolah berasrama tanpa kasut ‘mahal’ tentu memalukan bagi aruah. Saya tidak memaksa aruah dan berpuas hati dengan kasut RM5 yang dibeli. Kasut tanpa jenama dibeli di pasar minggu.
“Kasut itu tidak sempat dipakai, kerana dicuri senior!” Saya menyambung cerita yang berkali diulang pada anak-anak. Kali ini bercerita pada sepsang kasut Tutankhamun. Bercerita penuh emosional.
Kenangan pahit yang menghantui sehingga kini. Terhiris perasaan dengan seorang senior yang sanggup mencuri sepasang kasut seorang anak miskin hanya sebagai satu penderaan di minggu suaikenal. Budaya Ragging yang diturunkan oleh penjajah. Kalau makin teruk mendera, makin hebat sang senior. Memukul dan mengarahkan apa sahaja, kekadang berpanjangan selama setahun.
Kejam sekali kerana sipencuri kasut saya itu anak seorang ahli politik yang kaya raya. Yang masuk sekolah tersebut bukan kerana kecemerlangan SRPnya, tetapi kuasa dan pengaruh yang ada pada ayahnya, seperti yang ceritakan dengan angkuh. Angkuh kerana dia anak seorang bergelar datuk dan saya hanya anak petani yang menyewa bendang dari orang kaya seperti keluarganya. Perbedaan darjat menambahkan dendam saya pada keadaan. Tidak berdendam pada senior tersebut. Tetapi dendam itu bertukar sebagai perangsang untuk belajar lebih kuat dan cemerlang.
Ayahnya bukan Tutankhamun. Senior nakal itu juga bukan Tutankhamun. Bukan keturunan firaun. Kekayaan mereka terlalu kecil berbanding dengan Tutankhamun dan firauan lain. Tetapi kekayaan sedikit itu menjadikan mereka berkelakuan seperti firaun kecil. Kekayaan dari merampas hak orang lain dan mempergunakan kelebihan yang sebenarnya rezeki untuk dikongsi bersama. Bukan untuk menzalimi sesama manusia.
Dia mendera saya kerana terasa berkuasa, biar sekadar senior yang kemudiannya gagal SPM. Yang kini bergelar datuk kerana diwariskan kekayaan. Datuk yang masih berkelakuan firaun dalam perjuangan politik ketuanan sempitnya.
“Memang cantik kasut Tutankhamun!” Suara isteri menerpa dan mengejutkan saya dari ilusi dan imaginasi. Saya cepat-cepat mengesat airmata. Tanpa disedari isteri.
“Kita tidak tahu siapa pereka dan pembuat kasut ini, kreatif sekali, dan tiada pula produk kasut terkini dengan fesyen Tutankhamun!” Jawab saya perlahan. Masih terbayang kasut RM30 yang dicuri senior dan mengubah persepsi saya terhadap nilai kasut selamanya. Mengerling kasut buatan negeri China yang saya pakai. Memang sengaja membeli dan berbaloi memakai kasut murah kerana bimbang kalau hilang di Mesir.
Sebenarnya harga semua kasut saya yang ada dalam empat pasang itu, termasuk kasut kerja tidak lebih dari RM100 sepasang. Harga yang mungkin sekadar untuk sebelah kasut anak-anak dan isteri sahaja.
“Kasut buatan negeri China tanpa jenama yang abah pakai ini mungkin boleh berharga jutaan ringgit, walau tidak boleh menandingi nilai harga kasut Tutankhamun....!” Saya berkata pada isteri dan anak-anak sebaik melangkah keluar dari muzium.
Kelihatan ramai orang-orang Mesir yang sedang menanti untuk masuk percuma sebelum muzium ditutup. Harga tiket masuk muzium memang jauh mahal untuk pelancung berbanding dengan harga tiket untuk rakyat Mesir. Begitupun, masih ramai mahu masuk secara percuma untuk melihat khazanah dan harta karun para Firaun. Warisan Mesir yang membawa masuk bilion ringgit ke dalam kantung Presiden Mubarak. Billion ringgit yang tidak sampai ke majoriti rakyat yang hidup dibawah paras kemiskinan.
“Bagaimana?” Tanya Muhaimin yang nampak keliru. Kasut yang dipakainya juga berharga RM200. Jenama terkenal dan dipakai oleh Ronaldinho
“Kalau abah jadi Muntadher al-Zaidi yang berani melontar kasut kepada Presiden Bush!”
Ya, Muntadher, wartawan stesen TV berpengkalan di Kaherah yang menjadi hero baru orang-orang Arab dan memberi inspirasi kepada majoriti penentang kezaliman Amerika. Membaling kasut pada seorang presiden angkuh dan kurang cerdik yang bertaraf firaun moden di hari-hari terakhir pemerintahan. Presiden yang mempunyai imuniti walau telah membunuh ribuan manusia atas nama peperangan menentang teroris, walhal diri sendiri adalah teroris bertaraf dunia. Presiden yang menjadi proksi zionis sebagai polis, pendakwa dan hakim seluruh planet bumi.
“Kalau balingan itu kena tepat pada kepala Presiden Bush, tentu kasut Muntadher lebih mahal dari kasut Tutankhamun untuk ribuan tahun nanti!”
Muhaimin berkata dengan penuh perasaan. Ternyata ‘lawatan sekali seumur hidup’ ke muzium Kaherah dan piramid menambahkan pengalaman dan pengetahun realistik pada anak-anak yang membesar dalam bercampur nilai antara sirah dan playstation, google, facebook, serta bintang-bintang bolasepak bertaraf jutawan sebagai idola.
Muhaimin tidak berjenaka tetapi kami serentak ketawa.
Ketawa pada diri sendiri dalam kembali menghirup hirok pikok kesesakan trafik, kesesakan manusia bertarung untuk hidup dalam udara tercemar Kaherah. Kota kontradiksi yang terus dipenuhi tapak-tapak kasut dan kaki ayam seramai 26 juta orang penghuni yang terus memanjangkan langkah para firaun!

P/s: Kredit untuk saudara Fudzail (http://1426.blogspot.com/2010/06/kasut-tutankhamun.html)

Thursday, June 24, 2010

ALAMAK! Piala Dunia

Assalamu'alaikum wrt wbt

Apa khabar? Semoga kita semua sihat dan sentiasa berada dalam naungan keampunan dan kerahmatan dari ALLAH SWT. dah lama saya tak mencoret di ruang maya ini.
Dah boleh agak ke team mana yg akan muncul juara Piala Dunia edisi di Afrika kali ini? Hari tu Portugal menghantar mesej kepada para pencabarnya nenerusi Korea Utara.
Saya tak tahu sama ada umur pemain Koera utara panjang lagi ke tak bila jejak kaki ke Pyongyang nanti. 7-0, besar tu. Kalaulah yg main tu team 1Malaysia, tak tahulah pulak berapa jumlahnya.

Bukan mahu memandang rendah kemampuan bolasepak negara tercinta ini tetapi rasanya '1Malaysia' dah tahu setakat mana keupayaan kita.
Sememangnya senario bolasepak Malaysia sudah jauh berbeza (jauh terpesong?)
Untuk menikmati keseronokkan bolasepak, kena bayar. Paling tidak pun dengan harga segelas teh tarik di kedai mamak.

Mahu gambar yg lebih cantik, sediakan TV yg mempunyai bermutu HD dan langganilah 'Beyond'.

Saya teringat zaman kanak2 dulu. Air mandi ditadah dalam 'tong drum' Castrol dan juga kolah kecil. Rumah kami ketika itu ada 5 tong drum yg seumpamanya.
Tadah menadah ni kerja emak dan abah saya. Yg kami adik beradik tahu, bangun seawal pukul 5.00 pagi untuk mandi air yg telah diembunkan semalaman.
Sebab bilik air kami dari jenis 'open air + zink' . Bila time mandi, biasanya saya suruh adik2 saya mandi dulu, sementara saya 'tidur berdiri' menongkat dagu di tepi tong drum.

Adakalanya terasa seram jugak bila menjeling ke arah pokok kekabu Pak aji di sebelah rumah. Sebab orang cerita pokok kekabu ni tempat kesukaan 'Cik Ponti'. Alhamdulillah saya tak pernah jumpa pulak sepanjang tinggal di situ,
walaupun pernah brmimpi dia dok berbuai sambil mengalunkan hilaian yang tak merdu sangat kat situ.

Di Kampung saya ini selalu diadakan liga bolasepak antara Blok (felda la katakan). Saya mewakili blok 10 walaupun saya ahli blok 13.
Nak buat camne....menjadi penyerang terhandal blok 13 sudah pastinya saya dilamar pasukan lain dengan bayaran yg cukup tinggi.
Ewahh cam transfer player plak. Harga? Tembikai percuma milik kebun abah izwan budak blok 10.
Berimaginasikan Ian rush, roger milla kemudiannya yg menyaksikan saya menjadi penyerang utama skuad budak2 blok 10. (anda senyum sinis? tanda anda jeles hehehehe)

Zaman itu liga Inggeris ditonton secara percuma di kaca Tv menerusi RTM sahaja. Setiap petang Sabtu, kami budak2 kampung ni akan terpegun menyaksikan Glen Hoddle, Kenny Daglish, Ian Rush dan
sebagainya beraksi. Walaupun hanya menonton imbasan perlawanan2 yg didakan tetapi corak serangan serta pertahanan yg ditunjukkan memukau kanak2 yg seusia saya.

Big League Soccer dan Road to Wembley adalah program kegemaran ketika itu. Bukan takde liga Amerika Selatan atau Liga Jerman yg disiarkan tetapi tidak menyamai kerancakkan liga Inggeris.
Cuma, pandangan saya tentang liga Brazil dan Liga Inggeris agak berbeza, saya kagum dgn fitness pemain2 liga Brazil. tak sempat nak 'berehat' bola dah sampai.
Kalau liga Inggeris ketika itu, bila sepak bola keluar, tunggulah 'budak2 Milo' tu pi kutip bola. kalau terhegeh2 dia kutip bola, alamat buang masa laaaa

Semangat bolasepak masa tahun 80an dan awal 90an dulu lain. Main bola untuk keseronokkan. Dan keseronokkan datang bila kita dapat berikan yg terbaik semasa bermain.
Sekarang ni saya tak tahu apa yg kurang. Mungkin kurang ilmu bolasepak kot. Ramai gak player bolasepak sekarang yg bermain bola mcm tanpa ilmu.
Tu pasal dah jadi profesional pun sekarang ni, main mcm peringkat estet. Bukan nak kata peringkat estet tak bagus, cuma nak bagitau tolong jaga standard nama profesional tu.

Jepun dan Korea dah pergi terlalu jauh. Kita pulak masih lagi dgn meeting, meeting, meeting, meeting, meeting, sama ada nak guna pemain impot atau tidak.
Hari tu awak jugak kata tak payah. Lepas tu nak guna balik. Bayangkanlah team Harimau Muda yg jadi juara Liga Perdana tahun lepas tak dibenarkan beraksi dalam Liga Super,
kemudian dihantar ke luar negara untuk 'perlawanan' dalam liga di Eropah.

Kalau saya presiden FAM, saya akan bubarkan skuad Harimau Muda. Kalau diorg betul2 bagus tempatkan diri dalam skuad utama negeri dulu.
Jgnlah diperap dlm skuad Piala Razak aje. Dedahkan skil diorg betul2. Kat Malaysia ni, bolasepak terikat dgn usia. Alasan nak bagi serasi bersama, bagi saya tak boleh pakai.
Ini menutup peluang bakat2 yg lain. FAM kena hantar satu task force yg betul2, bukan cobaan ke negara2 kuasa bolasepak. Kaji perkembangan bolasepak diorg. Apa diorg buat dgn bakat muda yg ada.
Korporatkan bolasepak secara berperingkat. Ni nak beli jersi Malaysia yg cetak rompak pun payah.

Ok berbalik kepada Piala Dunia. Kalau boleh tahun ni saya nak lihat cerita dongeng bolasepak berakhir. Apa dia cerita dongeng bolasepak?
Cerita dongeng bolasepak ialah tentang takde team lain masuk final dan jadi juara. Brazil, Argentina, England, Jerman, Itali. Kalau ikut gilirannya tahun ni, team dari Amerika Selatan akan muncul juara.

Kebetulan? Cuba tengok rekod ni. 1970 - Brazil, 1974 - Jerman Barat, 1978 - Argentina, 1982 - Itali , 1986 - Argentina, 1990 - Jerman, 1994 - Brazil, 1998 - Peranchis, 2002 - Brazil, 2006 - Itali, 2010 - Ghana???
Hehehe kenapa saya letak Ghana? saya tengok game diorg masa lwn Jerman, cantik. Ada skil, ada harapan. Tetapi geng2 black ni mcm jd dungu depan gol. Finishing kureng.
Dpt kalau Ghana ada Drogba dan Eto dah cukup.

Kalau boleh biarlah team lain lak jadi juara tahun ni. Saya teringin sekiranya Sepanyol muncul juara. Ataupun Portugal.
Untuk pusingan ke 2 ni saya harap gamenya tak seboring pusingan pertama. Walaupun sebenarnya game yg saya tengok penuh 90 minit, cuma game opening dan USA lwn Algeria sahaja.
Yg lain, saya tak tahan mata. Ngantuk. Cuba2 gak tengok game 2.30 pg kat Astro Arena tapi yg ada liputan Sukma kat Melaka. Buka TV1 dan TV2.... drama swasta je.

Sport Channel saya dah terminate awal2 lagi. "Kita takde bajet tahun ini utk sport channel".kata Menteri Kewangan ke 2' -isteri saya. Jadi saya ganti dgn pakej RMKJ (Ringgit Malaysia Kene Jimat.)

Dalam Piala Dunia kali ini pasukan yg boleh meguasai 'speed' dan ketepatan di depan gol akan muncul juara.Bola brand JABULANI tu juga main peranan.
Argentina dan Portugal nampak macam ada 'chance'.

~ Abah Aumi

P/s: Kredit untuk penulis.

Tuesday, June 22, 2010

Secawan Kopi

Di dalam sebuah kelas falsafah, seorang profesor berdiri di hadapan dewan kuliah, meja di hadapannya terdapat beberapa barangan.

Tanpa sepatah perkataan, kelas bermula dengan beliau mengambil sebuah balang mayonis yang besar dan mengisinya dengan bola golf.

Dia kemudian bertanya kepada para pelajarnya, adakah balang
tersebut penuh,dan pelajarnya menjawab "ya!".

Profesor kemudian mengambil sekotak batu kerikil halus dan
menuangkannya ke dalam balang yang telah dipenuhi bola golf tadi, lantas menggoncang balang tersebut dengan lembut. Bebatu kerikil mengisi ruangan kosong di antara bola-bola golf.

Sekali lagi dia bertanya akan pelajarnya sama ada balang tersebut telah penuh, pelajarnya lantas menjawab "ya…"


Tanpa menjelaskan apa-apa kepada pelajarnya, profesor tersebut lantas mengambil pula sebuah kotak yang berisi pasir dan menuangkannya ke dalam balang tersebut. Pasir yang dituang mengisi ruangan di antara batu kelikir dan bola golf.

Seperti tadi dia bertanya lagi kepada para pelajarnya sama ada balang tersebut telah penuh. Dalam keadaan yang penuh persoalan, rata-rata pelajarnya menjawab "Ya.."

Sejurus selepas itu, profesor itu kemudiannya mengeluarkan dua cawan kopi dari bawah mejanya dan menuangkan kedua-duanya ke dalam balang yang telah sedia ada diisi bola golf, batu kerikil dan pasir tersebut. Air kopi mengisi ruangan yang terdapat di antara pasir. Para pelajar mula ketawa dan tersenyum meihat tindakan profesor tersebut.

"Sekarang…" profesor mula bersuara apabila riuh rendah dan gelak ketawa pelajarnya berkurangan.

"Saya mahu anda semua menganggap balang ini sebagai kehidupan anda. Bola-bola golf mewakili perkara penting - Tuhan, keluarga anda, anak-anak, kesihatan anda, kawan-kawan dan semangat anda.

Jika anda kehilangan segalanya dan hanya perkara penting ini yang masih anda ada, hidup anda masih penuh.

Batu kerikil halus ini pula mewakili perkara-perkara lain seperti kerja anda, rumah atau kereta anda, manakala pasir pula mewakili perkara-perkara lain, yakni perkara-perkara kecil."

"Jika anda memasukkan pasir ke dalam balang dahulu…" "… anda tidak akan mempunya ruang untuk batu kerikil dan bola golf. Ini sama juga seperti kehidupan anda. Jika anda menghabiskan masa dan tenaga untuk perkara-perkara kecil, anda tidak akan mempunyai ruang untuk perkara yang sebenarnya lebih penting untuk diri anda."

"Ambil perhatian untuk perkara yang kritikal untuk kebahagiaan anda. Luangkan masa gembira untuk anak-anak. Sentiasa melakukan pemeriksaan kesihatan, bawa pasangan anda untuk makan malam, yang pasti, anda akan masih ada masa untuk membersihkan rumah atau urusan lain. Sila ambil berat akan bola golf dahulu - iaitu perkara yang benar-benar penting. Tetapkan keutamaan. Perkara lain cumalah pasir…"

Salah seorang pelajarnya mengangkat tangan dan bertanya apakah pula yang diwakili oleh air kopi. Profesor tersebut tersenyum.

"Saya gembira ada yang bertanya. Ianya menunjukkan bahawa tidak kira bagaimana penuh pun kehidupan anda, akan sentiasa ada ruang untuk secawan dua kopi bersama rakan-rakan…"

Renungan untuk semua. Apabila kehidupan anda seakan terlalu penuh dan tampak sukar untuk diuruskan, apabila 24 jam sehari seperti tidak mencukupi, maka ingatlah kisah ini.

Sekian, moga tenang sedikit jiwa yang sibuk. Ceria selalu

P/s: Kredit untuk Azman Yusop" .

Saturday, June 19, 2010

Cerpen - Lorong Belakang Valiasr

Cerpen: Lorong Belakang Valiasr
Oleh Fudzail

Berita Harian 2010/06/19
SAYA berehat setelah puas menyusuri jalan Valiasr, jalan terpanjang sejauh 17 kilometer yang memisahkan metropolis Tehran kepada bahagian barat dan bahagian timur. Cuaca nyaman pada musim bunga, bulan Khordad, bulan ketiga dalam kalendar Parsi.

Menjejak ruang dalam kesibukan kota yang dipenuhi paradoks. Antara kaya dan miskin. Antara chador dan skirt. Syiah dan Barat. Maju dan mundur.

Seketika di jalan Valiasr, pelbagai imej dan persepsi yang mengheret minda pun terburai dan terdampar. Mengejutkan, kota Tehran tiba-tiba berwajah kosmopolitan. Pembangunan di mana-mana, kalau diukur dengan menara dan apartmen. Tidak semua buruk seperti yang digambarkan media Barat dan tentunya tidak seindah yang dipaparkan propaganda tempatan. Bergantung kepada lokasi, lokasi dan lokasi.

Benarlah kata seorang sahabat Facebook dari Iran, dunia tidak memahami Iran. Sebenarnya saya semakin keliru dalam perspektif yang mula menganjak ke fragmen-fragmen berwarna suram. Wajah-wajah menyambar imaginasi. Senyuman mendambarkan kemesraan.

Lantas dari sehari kembara, dalam keletihan, saya mula melihat Iran dari sentuhan santai. Memesrakan suasana tanpa persepsi yang mengasak keinsafan di tengah-tengah kota Tehran. Sebuah kota tua dengan penduduk melebihi sembilan juta orang. Kota yang berlatar belakang pergunungan Alborz memaparkan kontradiksi. Merakamkan sejarah dan peristiwa dari peradaban silam ke revolusi dan masa kini. Setahun selepas suara protes dengan demonstrasi memenuhi pusat kota, protes terhadap presiden. Protes yang masih membakar kemarahan marhaen.
Maka di luar dari skrin CNN, BBC, Fox, CNBC mahupun Al-Jazeera, saya menjadi wartawan dalam diri seorang blogger yang mencerna segala maklumat dalam sebuah catatan tanpa prejudis.

Massoud, rakan bisnes yang menjadi wakil syarikat di Tehran menarik saya ke lorong belakang. Katanya, ada kehidupan, realiti semasa yang menjalari lorong-lorong belakang. Kebetulan kami berada di bahagian selatan Valiasr. Kawasan hangat di mana Ayatollah Ruhollah Khomeni pernah menetap selepas pulang pada kala revolusi.
Menurut Massoud, daripada perbualan yang didengar menyusuri kaki lima, kesemuanya rungutan dan komplen mengenai harga barang yang semakin naik, penyelewengan pentadbiran dan pembohongan ahli-ahli politik, yang memungkiri janji-janji pilihan raya.

Kebetulan ada jerebu memenuhi ruang. Seakan membawa ke satu daerah dalam zon twillight. Kelabu dan berdebu.

“Jerebu membawa mood kurang baik.” Sepatah komen Massoud sambil menghisap rokok.
Singgah di sebuah kedai runcit kepunyaan bapa saudara Massoud, bernama Mehdi.
Apabila kami masuk, kelihatan rak-rak hampir kosong. Yang tinggal hanya beberapa barangan dalam kotak-kotak kecil. Mengejutkan.

“Saya tidak mempunyai wang yang cukup untuk membeli stok baru. Dalam inflasi yang tinggi menjadikan harga borong turut naik ke paras yang melebihi jangkauan. Malah ada produk tertentu yang naik sehingga enam belas peratus setelah dua pembelian. Mengerikan sekali. Kedai ini dikunjungi lebih ramai peminta sedekah daripada pembeli. Malah kalau lihat dari mesin tunai yang kosong, saya boleh sahaja menjadi peminta sedekah!”

Mehdi bercakap perlahan dalam bahasa Inggeris yang bercampur baur. Masih boleh difahami.

“Berapa sewa kedai ini?” Tanya saya sambil melihat ruang kecil berukuran 7 meter panjang dan 6 meter lebar. Siling rendah.

Mehdi tersenyum.

“Dalam USD 200 sebulan. Tiada tandas, tiada penghawa dingin, tiada pemanas udara dan tikus berkeliaran. Inilah yang termurah.”

Saya dapat merasakan kekecewaan daripada suara Mehdi. Katanya dia tiada pilihan. Berniaga memerlukan banyak pengorbanan dan tidak semudah yang dijangka.

“Negara ini melucukan, ada yang boleh menjadi jutawan sekelip mata. Lihat di seberang sana, ramai yang beratur panjang di kaunter supermarket dan bergaduh untuk merebut susu. Bagaimana boleh kami terus menyambung kehidupan yang sudah dalam keadaan daif kalau kerajaan memotong subsidi demi subsidi?”

Pertanyaan itu bergema ke seluruh gegendang. Melihat wajah serius Mehdi memaparkan suasana yang selama itu tidak termasuk dalam persepsi dan bayangan mengenai Iran. Sebuah negara yang kaya dengan hasil minyak dan sedang membina sebuah jana kuasa nuklear. Mungkinkah embargo dan pelbagai sekatan sudah membawa kesan yang diinginkan oleh sekutu Yahudi bernama Amerika? Pastinya, Iran bukan sekadar bermusuhan dengan rejim zionis, malah dengan jiran dikalangan negara-negara Islam juga. Sama ada kerana berlainan mazhab atau berlainan ideologi atau sejarah silam. Ya! Iran semakin terasing di tengah-tengah sekutu seagama.

“Pagi tadi ada dua orang wanita berchador datang mahu membeli ubat gigi. Saya tidak menyedari yang mereka telah mencuri banyak ubat gigi dengan menyorok di bawah chador. Bayangkan keadaan mereka yang lain dalam kemiskinan. Bayangkan suri rumah terpaksa mencuri dan hukuman mencuri adalah potong tangan!”

Percakapan sebegitu mungkin banyak tersiar dalam blog mereka yang mahu memberitahu keadaan sebenar. Blog-blog yang semakin banyak ditutup kerana dituduh melontar fitnah dan mengancam keselamatan negara. Walau ada kebebasan bersuara, tidak pasti kebebasan selepas bersuara. Kata Massoud, ramai yang sudah dihadapkan ke mahkamah walau pertuduhan tidak lebih mahu menutup mulut dan menyusahkan para pengkritik yang mahukan sebuah negara Iran yang lebih baik.

Dengan enam puluh peratus penduduk kota Tehran di bawah usia 25 tahun, tentunya sebuah kota yang vibrant dan perlukan keseronokan. Ceria dan penuh dengan kemeriahan anak-anak muda. Generasi yang lahir selepas revolusi dan mahu seiring di pentas dunia, daripada gambaran filem, internet, buku, majalah dan akhbar.

Saya semakin menjadi gelisah dalam cuba memahami apakah yang sebenarnya sedang berlaku. Sebagai pemerhati dari Dubai, selalu menganggap Iran mempunyai sistem demokrasi yang baik, bebas dan adil. Pilihan raya demi pilihan raya yang telus memberikan peluang untuk rakyat memilih pemimpin dan haluan negara. Bukan di bawah diktator dan raja yang memerintah untuk survival diri.

“Saya hanya mampu menampung perbelanjaan keluarga daripada pendapatan isteri yang bekerja di sebuah bank dengan gaji sebanyak USD300 sebulan. Sewa apartmen tiga bilik kami di sebuah kawasan sederhana adalah sebanyak USD450, bayar USD50 untuk air, elektrik dan telefon, manakala yuran sekolah anak sebanyak USD100, ditambah perbelanjaan lain, makanan sebanyak USD300 sebulan. Semakin hari semakin sesak, kedai ini tidak dapat lagi membantu untuk pendapatan, lebih teruk lagi, pemilik kedai tidak akan bertolak ansur, kalau lambat sahaja bayar, mahu terus menghalau!”

Mehdi meneruskan kisah sedih kehidupannya. Seperti kata Massoud, kisah yang boleh diulang oleh jutaan penghuni Tehran yang lain, mereka yang semakin tertekan dalam keriuhan pemimpin mempertahankan pembinaan jana kuasa nuklear dan mahu menjadi hero kepada setiap isu berkaitan perjuangan keadilan sejagat.
Sedangkan kemiskinan semakin melumpuhkan sebahagian dari mereka yang masih bertahan kerana patriotisme.

Massoud kemudian membawa saya ke apartmen kecil seorang lagi rakannya, Rostam, seorang peguam aktivis hak-hak asasi. Selepas diperkenalkan, Rostam terus sahaja menyumpah-nyumpah, talian internet yang sentiasa terputus dan terganggu.
Tidak berfaedah untuk menelefon pusat khidmat pelanggan kerana belum pernah panggilannya dijawab walau sudah beribu kali mencuba.

“Saya tidak boleh langsung membuka e-mel sejak sebulan lalu. Apakah ini masalah perisian dan virus? Atau masalah teknikal perkakasan? Atau apakah ini sebahagian daripada kerja-kerja perisikan? Mungkin kerana kegiatan saya menyebabkan saya menjadi sasaran?”

Pertanyaan yang tidak mungkin dapat saya jawab. Walau syarikat saya membekalkan modem untuk pasaran Iran. Tidak kena-mengena dengan pengendali internet dan syarikat Telekomunikasi, sekadar pembekal bebas. Itupun seperti kata Massoud, banyak duit kopi yang terpaksa diagihkan untuk mendapat pelbagai kelulusan.

“Bukan sahaja internet semakin diganggu untuk mengurangkan protes maya, malah perbualan telefon juga tidak selamat. Telefon bimbit saya sentiasa tiada talian kalau mahu berhubung dengan pelanggan.”

Saya mendengar cerita Rostam mengenai anak-anak guam yang semakin bertambah. Sama ada dari segi bilangan mahupun golongan, salah seorang anak guamnya adalah anak perempuan mantan presiden sendiri yang dituduh di bawah jenayah politik. Semakin ramai golongan terpelajar yang mula bangkit untuk memprotes keadaan semasa. Lawan tetap lawan.

Ketidakadilan semakin ketara apabila mahasiswa yang memprotes dianggap pengkhianat. Walhal, anak-anak muda yang pernah menjadi pemangkin revolusi.
Suara rakyat suara keramat dan suara anak muda boleh mencetus revolusi.

Rostam menunjukkan tajuk muka depan akhbar, kenyataan ketua polis Tehran dalam bahasa Parsi yang bermaksud, “Setiap demonstrasi haram memprotes ulang tahun pilihan raya presiden akan ditangani sekeras-kerasnya!”

Sejarah seakan berulang, begitu kata Massoud. Pemimpin tidak lagi mendengar rintihan rakyat. Sudah semakin jauh daripada apa yang diperjuangkan oleh Khomeini sewaktu menumbangkan Shah Iran.

Saya kembali ke hotel bersama imej-imej yang menjadikan kerlipan cahaya neon kota Tehran seakan pudar dan kelabu. Suara-suara rintihan marhaen menghimpit perasaan apabila melihat laporan mengenai sumber minyak yang sepatutnya menghasilkan puluhan bilion setiap tahun. Defisit bajet setiap tahun boleh memufliskan negara. Ke manakah perginya hasil negara selama ini?

Di kawasan legar hotel yang masih terpampang wajah Khomeini, beberapa rakan Massoud lain yang mengetahui saya datang dari Dubai, segera bertanya mengenai peluang lain dalam situasi dan iklim ekonomi yang masih tidak stabil. Terutama pertanyaan untuk membuka akaun bank di Dubai apabila tekanan daripada Kerajaan Amerika semakin kuat kepada Eropah dan Asia untuk menghentikan apa sahaja urusan ekonomi dengan Iran.

Mereka bercakap begitu sarkastik apabila nama presiden disebut, seolah-olah tidak lagi takut kalau ada perisik yang mendengar. Sudah tidak peduli kerana kata mereka, dalam keadaan semakin sukar untuk cari makan, ada baiknya juga kerajaan memberi mereka makan dalam penjara, apalagi setelah subsidi diberhentikan. Jenaka yang tidak lucu.

“Amerika akan gunakan apa sahaja untuk menekan Iran supaya tunduk kepada kehendak rejim Yahudi yang menggunakan Amerika sebagai proksi, selain pemimpin dan raja Arab yang lain. Iran tidak mungkin menghentikan program nuklear walau rakyat akan menderita. Itulah objektif Amerika, mahu rakyat Iran memberontak dan menggulingkan kerajaan yang ada, digantikan dengan seorang lagi boneka seperti di Iraq.”

Saya mendengar setiap hujah yang dilontarkan di meja makan malam.

Semakin rancak perbualan antikerajaan, sehingga pelawaan yang menyebabkan saya terkejut beruk. Apabila salah seorang mereka memberitahu kalau saya memerlukan teman tidur, seorang wanita Iran untuk beberapa malam selama di kota Tehran.
Boleh sahaja memilih, tua atau muda, bujang atau berkahwin, terpelajar atau artis.

“Semuanya boleh diaturkan, kamu boleh berkahwin mengikut tempoh masa, sah dan halal. Boleh bagi sijil pengesahan daripada pihak berwajib lagi!”

Pada mulanya saya menyangka sekadar gurauan. Walau pernah mendengar perkara yang sama, tetapi tidak pernah peduli kerana tidak pernah memerlukan khidmat sebegitu. Masih mempertahankan etika dan hukum agama. Apalagi berurusan di sebuah negara yang namanya ada perkataan Islam. Tentu menjalankan undang-undang Islam yang ketat, begitulah persepsi.

“Serius?” Saya bertanya dalam sedikit teruja. “Bukankah itu pelacuran yang dihalalkan?”

Massoud ketawa sambil berkata, laporan akhbar Entekhab mengatakan ada dalam 84 ribu pelacur di kota Tehran.

Saya menelan air liur. Dalam semangat mahu berurusan bisnes dengan sebuah lagi negara Islam, semakin terkeliru dan janggal. Semuanya begitu mengelirukan setelah minda dipenuhi persepsi berbeza. Seperti kata seorang sahabat, dari melihat urusan imigresen di lapangan terbang, selain keadaan lapangan terbang sendiri boleh menggambarkan keadaan sesebuah negara. Banyak negara Islam yang gagal sekadar melihat dari suasana dan buruknya lapangan terbang. Malah ada pegawai yang bukan sahaja tidak mesra pelanggan, malah awal-awal lagi meminta rasuah untuk memudahkan urusan imigresen dan visa.

“Kamu mahu melihat bagaimana urusan bisnes kupu-kupu malam di sini?”

Tiba-tiba soalan yang membawa ajakan daripada Massoud menjadikan saya tercabar untuk satu advencer di bumi yang pernah melahirkan ramai ulama dan intelektual Islam.

“Apakah tidak akan ditahan dan dipenjara?”

Massoud menggeleng, sambil menunjukkan ke arah salah seorang tetamu, Mohzen. Lelaki dari Qom.

“Abang dia kenal ketua perisik, tidak perlu takut, sebab itu juga kami berani mengutuk presiden. Laporan akan sampai ke meja ketua perisik sebelum tindakan boleh dibuat, dan selalunya kami terlepas sahaja!”

Saya tidak pasti sama ada mahu menerima pelawaan yang memang menarik. Menjejak kota Tehran pada waktu malam sambil melihat keadaan yang boleh memberi pengalaman baru kepada seorang ekspatriat Melayu. Jual beli, tawar menawar untuk khidmat bisnes tertua di dunia.

Begitupun, nafsu keinginan yang membara tiba-tiba menjadi lesu apabila terpandang sebuah artikel dari majalah yang ditunjuk Massoud. Ternyata, kemiskinan memang menjuruskan kepada kekufuran. Walaupun di sebuah negara kaya dengan hasil bumi, selagi jurang kaya dan miskin begitu besar. Semuanya menjadi statistik yang menggambarkan segalanya semakin songsang pada akhir zaman.

Ketua Statistik Iran mengumumkan seramai 10 juta dari 72 juta rakyat Iran hidup di bawah garis kemiskinan sepenuhnya, iaitu hidup dengan pendapatan USD600 sebulan untuk keluarga seramai enam orang dan 30 juta rakyat Iran hidup di bawah garis kemiskinan relatif dengan pendapatan USD900 sebulan.

Malam itu di kota Tehran, dari jalan Valiasr ke lorong-lorong belakang, saya tidak dapat tidur lena. Ketukan di pintu bilik hotel menambah kegerunan. Suara-suara rintihan bergema di setiap ruang.

Di bawah selimut, tiba-tiba teringatkan tanah air yang sudah lama ditinggalkan kerana mencari rezeki di perantauan. Bertanya tentang apa sahaja, walaupun tidak mungkin ada jawapan. Ke mana nanti anak-anak sendiri dan apakah ada cahaya di hujung terowong krisis ekonomi, krisis timur tengah dan krisis-krisis lain?

Tersambar memori lampau, permulaan yang memungkinkan jejak global. Kemiskinan mengubah hala tuju seorang anak kampung ke pentas bumi. Digamit rindu dari hembusan angin pergunungan Alborz, menyegarkan di balik seribu imej menggerunkan.

Ya! Apa khabar orang kampung?


PROFIL

FUDZAIL berkelulusan sains komputer & matematik dari New Zealand, pernah berkhidmat sebagai Pengurus IT di TV3 dan kini ekspatriat Malaysia yang bermastautin di Emiriyah Arab Bersatu (UAE) sejak 2000. Terbabit dalam pembinaan projek mega seperti Dubai Internet City dan Palm Jumeirah. Kini pakar runding untuk syarikat Turki, China dan Perancis di UAE. Pernah memenangi Hadiah Sastera Utusan, Johor dan Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2006/7. Antologi puisi Waikato diterbitkan oleh DBP pada 2001 dan antologi cerpen Dotkomania (DBP - 2009). Trilogi Travelog A0teAr0A dalam proses pembikinan. Beliau boleh dihubungi melalui e-mel fudzail@gmail.com dan blog 1426.blogspot.com

P/s: Kredit untuk saudara Fudzail..

Monday, June 14, 2010

Coretan - Budak Penjaja Kuih...

Hari itu selepas seminggu beraya di kampung, saya pulang ke Kuala Lumpur . Memikirkan Highway PLUS sibuk, saya menyusuri laluan lama. Pekan pertama yang saya lintas ialah Teluk Intan. Terasa mengantuk, saya singgah sebentar di sebuah restoran di pinggir pekan itu. Sebaik memesan makanan, seorang kanak-kanak lelaki berusia lebih kurang 12 tahun muncul dihadapan.

"abang nak beli kuih?" katanya sambil tersenyum.

Tangannya segera menyelak daun pisang yang menjadi penutup bakul kuih jajaannya.

"tak apalah dik.. abang da pesan makanan," jawab saya ringkas.

Dia berlalu. Sebaik pesanan tiba, saya terus menikmatinya. Lebih kurang 20 minit kemudian, saya Nampak kanan-kanak tadi menghampiri pelanggan l ain . Sepasang suami isteri agaknya. Mereka juga menolak. Dia berlalu begitu saja.

"abang dah makan, tak nak beli kuih saya?" katanya selamba semasa menghampiri meja saya.

"abang baru lepas makan dik. Masih kenyang lagi ni." Kata saya sambil menepuk-nepuk perut.

Dia beredar tapi setakat di kaki lima . Sampai di situ, dia meletakkan bakulnya yang masih sarat. Setiap yang lalu ditanya,

"tak nak beli kuih saya bang, pakcik, kakak atau makcik?"

Molek budi bahasanya! Mamak restoran itu pun tidak menghalang dia keluar masuk ke premisnya bertemu pelanggan. Sambil memerhati. Terselit rasa kagum dan kasihan dihati saya melihatkan betapa gigihnya dia berusaha. Tidak Nampak langsung tanda-tanda putus asa dalam dirinya, sekalipun orang yang ditemuinya enggan membeli kuihnya.

Selepas membayar harga makanan dan minuman, saya terus beredar ke kereta. Kanak-kanak itu saya lihat berada agak jauh di deretan kedai yang sama. Saya buka pintu, membetulkan duduk dan menutup pintu. Belum sempat saya menghidupkan enjin, kanak-kanak tadi sudah berdiri di tepi kereta. Dia menghadiahkan sebuah senyuman. Saya turunkan cermin membalas senyumannya. Saya lihat umurnya lebih kurang 12 tahun.

"abang da kenyang, tapi abang mungkin perlukan kuih saya untuk adik-adik abang, ibu atau ayah abang," katanya petah sekali sambil tersenyum. Sekali lagi dia mempamirkan kuih dalam bakul dengan menyelak daun pisang penutupnya.

Saya tenung wajahnya, bersihdan bersahaja. Terpantul perasaan kesian dihati. Lantas saya buka dompet dan menghulurkan sekeping not merah. RM10. Saya hulurkan pasanya.

Ambil ni dik! Abang sedekah. Tak payah abang beli kuih tu," saya berkata ikhlas kerana perasaan kasihan meningkat mendadak/ kanak-kanak itu menerima wang tersebut, lantas mengucapkan terima kasih terus berjalan kembali ke kaki lima deretan kedai. Saya gembira dapat membantunya.

Setelah enjin kereta saya hidupkan, saya mengundur. Alangkah terperanjatnya saya melihat kanak-kanak itu menghulurkan pula RM10 pemberian saya itu kepada seorang pengemis yang buta ke dua-dua matanya.

Saya terkejut lantas memberhentikan semula kereta memanggil kanak-kanak itu.

"Kenapa bang, nak beli kuih ke?" tanyanya.

"kenapa adik berikan duit abang tadi pada pengemis tu? Duit tu abang bagi adik!" kata saya tanpa menjawab pertanyaannya.

"bang, saya tak boleh ambil duit tu. Mak marah kalau dia dapat tau saya mengemis. Kata mak kita mesti bekerja mencari nafkah kerana Allah berikan tulang empat kerat pada saya. Kalau dia tahu saya bawa duit sebanyak itu pulang, sedangkan jualan masih banyak, mak pasti marah. Kata mak, mengemis kerja orang tak berupaya. Saya masih kuat bang!" katanya begitu lancar.

Saya sebak. Sekaligus kagum dengan pegangan hidup kanak-kanak itu. Tanpa banyak soal saya terus bertanya berapa semua harga kuih dalam bakul itu.

"abang nak beli semua ke?" dia bertanya dan saya Cuma mengangguk. Lidah saya kelu nak berkata.

RM25 saja bang"

Selepas itu dia memasukkan satu persatu kuihnya ke dalam plastic, saya hulrkan RM25. Dia mengucapkan terima kasih dan terus berlalu.

Saya perhatikan dia sehingga hilang daripada pandangan. Dalam perjalanan ke Kuala Lumpur , baru saya terfikir untuk bertanya statusnya, Anak yatimkah. Siapakah wanita berhati mulia yang melahirkannya. Terus terang saya katakan, saya beli kuihnya bukan lagi atas dasar kasihan, tetapi kerana rasa kagum dengan sikapnya yang dapat menjadikan kerjayanya satu penghormatan.

Sesungguhnya saya kagum dengan sikap kanak-kanak itu. Dia menyedarkan saya, siapa kita sebenarnya!

P/s: Kredit untuk penulis asal, MeiXot@yahoo. com..

Cerpen - Cinta Swasambada

BERITA MINGGU – SANGGAR KREATIF
CERPEN
OLEH: NOREHAN MUHAMAD
CINTA SWASAMBADA


Kluupp….!Kluupp….! Toyib mengelap pipinya yang basah tempias percikan kilasan haruan. Toyib berjuntai. Sesekali dia menghayun-hayun. Lemah. Dia duduk malas di atas dahan ketapang. Tangannya memegang erat dahan kecil. Sesekali Toyib membetulkan kedudukan punggungnya. Kluupp…sebutir lagi batu dilontarkan. Entah berapa kali dia melontarkan batu ke kali itu. Toyib memerhati batu itu hilang. Riak gelombanh air menari-nari di permukaan seperti mentertawakannya. Riak air dipandang tajam tanpa berkerdip. Sekali lagi wajahnya terkena percikan air. “ Hiss…!” gerutu hati sambil merenung air di kali.
Gejolak hati hanya Tuhan yang tahu. Nasihat Cikgu Nor sudah tidak diingati lagi.Dia sayang Cikgu Nor. Hanya Cikgu Nor tempat Toyib mengadu. Kini tiada apa makna baginya.
“ Sabar Toyib. Peduli apa orang kata!” Cikgu Nor mententeramkan Toyib. Cikgu Nor membersihkan darah di hidungnya.Lembut sentuhannya. Toyib dihayun perasaan. Ada perasaan kasih tersimpul erat. Sesekali dia mengesat mukanya dengan lengan baju. Hingus sudah sebati dengan baju. Mata membengkak. Jiwa juga membengkak.
“Anak haram! Anak haram!” pekikan-pekikan itu terngiang-ngiang di telinga. Kalimat paling dibenci. Bunyi ketawa rakannya pagi itu sangat menyeksa. Toyib memegang hujung lengan bajunya. “ Kamu semua setan!” Toyib mendengus.
“Anak haram! Anak haram!” berkali –kali kalimat itu menerjah di telinga. Inginsekali Toyib membuang kalimat-kalimat itu ke kali agar hilang seperti batu dilontar tadi.
“Ahhh! persetankan kalimat-kalimat itu!” Toyib menutup cupingnya dengan telapak tangan. Toyib memejam mata erat-erat dan membongkokkan badan.
Anak haram! Anak haram!
“ Betulkah Toyib anak haram, nenek?’’ berkali-kali jawapan diterima sama. “Tidak’’.Toyib tidak puas hati. Jawapan diingini tidak pernah diperoleh. Begitu juga jawapan Tok Bakar. Jika ditanya Tok Bakar mengamuk. Tok Bakar bersilat mengikut rentak lagu “Semerah Padi’’
“ Jangan ditanya lagi perkara tersebut. Tok tidak mahu dengar!’’ Tok Bakar berlari laju pergi dan duduk di bawah pohon mempelan sambil menggulung rokok daun. Pandangannya dilempar jauh-jauh. Berkali-kali Tok Bakar menakuk batang pokok mempelam menggunakan parang takik. Kepingan kulit mempelam jatuh berkeping-keping. Di situ tempat dia melepaskan geram jika Toyib menanyakan soalan itu. Nenek Ijah pula ke dapur dan sering berjurai air mata jika Toyib menagih jawapan. Terngiang-ngiang di telinga nenek Ijah kata-kata anak gadis tunggalnya.
“ Saya menyintai....’’ kata anak gadis kesayangan. Nenek Ijah masih ingat anak gadis terpelanting di sudut rumah apabila Tok Bakar telah memulakan silat Semerah Padi.
“ Saya tidak peduli!’’ anak gadisnya berteriak. Api cinta anak gadisnya tidak dapat dipadam dengan air. Semakin dijirus semakin marak api cinta itu, dan menjadi-jadi.
“ Anak derhaka!’’ Satu tamparan singgah di pipi.
“ Saya tetap akan ikut dia,’’ anak gadis itu keras seperti batu.
Nenek Ijah tidak dapat menahan sedih. Sejak malam itu, Ijah dan Bakar tidak pernah berjumpa anak kesayangannya itu.
“ Mari cari anak kita.’’ Rayu Ijah kepada Bakar.
“ Dia bukan anak aku. Anak derhaka. Menconteng arang di muka aku!’’ suara Bakar panas. Bakar menahan api kemarahannya.
“ Carilah!’’ rayuan Ijah tidak dipedulikan.
“Di mana aku hendak letak muka di kampung ini?’’ tangan Bakar menghentak dinding rumah.
Toyib lali pertengkaran antara Tok Bakar dengan Nenek Ijah mengenai dirinya.
“ Kalau sayang cucu kamulah yang jaga. Aku tidak masuk campur. Aku tidak mahu peduli benih anak derhaka itu,’’ rungut Tok Bakar setiap kali Nenek Ijah bicara mengenai Toyib.
“ Aku tidak peduli!’’ keras hati Tok Bakar sama keras seperti anak gadisnya.
“ Cikgu Nor tahu tak?’’ sayu suara Toyib sambil memandang wajah Cikgu Nor.
“ Apa?’’ tanya Cikgu Nor tersenyum lembut.
“ Nenek dan datuk tidak sayang pada saya,’’ kata Toyib sambil meletakkan buku latihan di atas meja Cikgu Nor. Mereka berbual di dalam kelas ketika murid lain keluar rehat.
“ Jangan kata begitu. Mereka itu datuk dan nenek Toyib sendiri.’’sambung Cikgu Nor sambil memerhati anak mata anak muridnya. Ada kebenaran jika dilihat dari raut wajah dan anak mata Toyib. Tiada terpancar ceria dan serinya.
“ Datuk tidak seperti datuk orang lain,’’ Toyib tunduk. Jarinya mencakar-cakar meja.
“ Sayang tidak ditunjukkan tetapi dapat dirasa,’’ Cikgu Nor berhenti memeriksa karangan muridnya.
“ Saya tidak rasa pun. Sungguh!’’kata Toyib.
Cikgu Nor memandang iris Toyib. Redup.
“ Saya tidak tahu siap ibu bapa saya,’’ air mata Toyib mula menitis. Cikgu Nor memandang sayu.
“ Anggap say ibu Toyib, ye!’’ Cikgu Nor menepuk-nepuk bahu Toyib.
“ Tidak sama!’’ kata Toyib memandang balik wajah cikgu kesayangannya.
“ Pergi ke kantin!’’ Cikgu Nor menghulurkan wang kepada Toyib.
“ Tidak mahulah cikgu. Saya kerap terima wang cikgu. Saya malu!’’ Toyib menjauhkan diri.
“ Kalau Toyib menganggap Cikgu Nor sebagai ibu, Toyib mesti terima pemberian ibu,’’ Cikgu Nor meletakkan wang ke dalam poket lusuh Toyib.
“Terima kasih, Cikgu!’’
“Anak haram! Anak harm!’’
Cikgu Nor tersenyum sambil beredar ke bilik rehat. Langkah Cikgu Nor terhenti. Toyib lari meenuju ke dalam bilik darjah. Pakaiannya kusut masai dikerjakan rakan-rakan.
“ Hei! jerit Cikgu Nor ke arah kumpulan murid. Bertempiaran semua lari disergah Cikgu Nor. Cikgu Nor tergesa-gesa berjalan ke arajh Toyib. Wajahnya muram. Air matanya membasahi baju.
“ Betulkah saya anak haram?’’sedih sayu suara Toyib. “ Betulkah?’’ Toyib memandang Cikgu Nor.
Cikgu Nor diam. Cikgu Nor hanya mengusap-ngusap kepala Toyib. Dia teringat peristiwa tiga puluh tahun lalu. Cikgu Nor teringat rumah kebajikan anak yatim. Malahan dikatakan anak-anak terbuang. Air mata Cikgu Nor menitis tika mengingat sejarah itu.
“ Kamu tidak bersalah apa-apa Toyib. Biarlah apa orang kata tentang kamu. Belajar dan ingat kita ada Tuhan. Biarlah Tuhan yang mnghukum orang bersalah. Tuhan sayang kepada makhluknya,’’ pujuk Cikgu Nor memandang wajah Toyib. Cikgu Nor ada swasambada apabila melihat Toyib.
“Tuhan sayang Toyibkah?’’ tanya Toyib.
“Ya!’’ angguk Cikgu Nor.
“ Mengapa tok dan nenek tidak sayang Toyib?’’ kata Toyib lagi. “ Tok selalu kata saya sial. Nenek pula tidak mahu cakap atau pujuk. Nenek selalu menangis, ’’Toyib meluah perasaan.
“ Anak haram! Anak haram! Kedengaran suara nakal di luar kelas begitu damat.
Cikgu Nor bangun dan mencari suara-suara nakal itu. Apabila Cikgu Nor berpaling kepada Toyib, hanya kerusi kosong yang tinggal.
“Toyib! Toyib!’’
Panggilan Cikgu Nor tidak didengari. Toyib berlari laju meninggalkan kawasan sekolah.
“Yoyib! Toyib!’’ Cikgu Nor memanggil sekuat hati dan mengejar Toyib.
Toyib semakin laju larinya. Fikirannya hanya mendengar laungan “ Anak haram!Anak haram’’ Toyib tidak menuju ke rumah, tetapi menuju ke arah pokok ketapang di tepi kali berhampiran belukar. Pada dia bagaikan tunawisma. Di situ tempat dia menenang dan melayan fikiranyya. Ikan-ikan di kali tempat Toyib berkata-kata menjadi sahabat setia.
“ Kamu ada keluarga dan kawan-kawan dalam kali ini, tetapi Toyib tiada keluarga. Toyib ada Tok Bakar dan Nenek Ijah tetapi mereka tidak sayang pada Toyib. Kawan-kawan pun tidak sayang. Tiada siapa yang sayang kepada Toyib,’’ kata Toyib lagi sambil melontar lagi batu-batu kecil. Sesekali dia membaling dahan-dahan kecil ketapang ke kali. Ikan-ikan dalam kali sesekali melompat dan memercikkan air di sekitarnya Toyib.
“Ada seorang sayang Toyib. Cikgu Nor sayang Toyib. Cikgu Nor baik. Cikgu Nor selalu beri duit makan di kantin. Toyib sayang Cikgu Nor.’’kata Toyib sambil tunduk.Kedengaran lagi bunyi percikan air apabila ikan-ikan itu melompat.
“Tetapi!’’ Toyib sedih dan menyapu air matanya, ‚’’Cokgu Nor bukan ibu Toyib. Cikgu Nor anggap dia macam ibu Toyib. Toyib rindu ibu dan ayah Toyib. Toyib tidak pernah lihat gambar atau kubur ibu Toyib. Ibu dan bapa Toyib hidup lagikah? Ibu dan bapa Toyib ke mana? Ibu dan bapa Toyib tidak sayang Toyib? Mengapa ibu dan bapa Toyib beri kepada Tok Bakar dan Nenek Ijah? Mengapa mereka tidak bela Toyib sendiri?’’ Toyib menangis. Tiada lagi kedengaran percikan ikan-ikan lagi.
“Ciak!Ciak! bunyi ibu burung di dalam sarang membuatkan Toyib memandang anak burung itu.
“ Kamu burung bertuah tidak seperti Toyib,’’ Toyib mengusap-usap bulu anak burung. Anak burung itu diletak ke dalam sarangnya semula. Bunyi ciak-ciak anak dan ibu burung menggembirakan Toyib. Tersenyum. Sesekali Toyib mnedongak merenung burung-burung di dalam sarang di pokok ketapang. Toyib melihat satu lakaran asmara di batang pokok itu. Lakaran yang usang.
“Hmm.... Mustarjo love Salmah,’’ Toyib membaca lakaran itu Sambil tersenyum.Siapa?’’ bisik dalam hatimya.
“Toyib! Toyib!’’
Toyib mendengar suara memanggilnya. Sayup-sayup. Hari semakin senja. Keroncong perut Toyib tidak dipedulikan. Toyib membaling batu ke dalam kali. Sesekali Toyib berlawan cakap dengan burung-burun di dalam sarang.
“ Burung! Dengar suara orang memanggil Toyib?’’ Toyib memandang ke atas.
“Ciak! Ciak!’’
“Ahh...! Tiada siapa yang panggil Toyib. Tok Bakar bukan kisah. Nenek Ijah pun sama,’’ Toyib mengeluh sambil membaling seketul batu besar.
“Anak haram! Anak haram!’’
Kalimat-kalimat itu datang silih berganti diiringi ketawa mengejeknya.
“ Pergi! Pergi!’’ Sejak lama dahulu, Toyib ingin tahu siapa ayah dan ibu.
“Siapa ayah dan ibu Toyib?’’
“Bukankah nenek sudah beritahu dahulu!’’ Nenek Ijah buat tidak dengar.
“Ayah?’’
“ Jangan tanya pasal ayah kamu! Nenek Ijah berlalu pergi.
“Toyib! Toyib!’’
“ Siapa panggil Toyib?’’ Toyib menoleh ke belakang. Sesekali Toyib membetulkan kedudukan punggungnya. Daun ketapang sudah melendut. “ Kalau ada ibu, tentu hidup Toyib tidak seperti ini,’’ Toyib mencarik-carikkan daun ketapang. “ Mesti ibu pimpin tangan Toyib ke sekolah, belikan Toyib kasut bola.’’
“Toyib! Toyib!’’
Suara memanggil Toyib semakin jelas kedengaran. Tetapi Toyib terus berkata-kata dan sesekali dia ketawa melihat rama-rama menari di sekeliling.
“Cantik kepak kamu, ada hijau, merah, kuning, putih. Cantik!’’ Toyib meletakkan rama-rama itu di telapak tangannya. “Hei rama-rama. Kamu tahu Toyib pun ada baju warna hijau, merah, kuning dan putih. Cantik!’’
“Toyib! Toyib!’’
“Baju-baju itu baju Danial. Cantik baju itu. Danial anak Mak Ngah jiran Toyib,’’ kata Toyib sambil melepaskan rama-rama itu. “Terbanglah. Terbang tinggi!’’
“Kamu bebas rama-rama. Pergilah cari keluarga kamu rama-rama,’’ kata Toyib sambil melambai-lambai rama-rama. Rama-rama terbang mengelilingi Toyib. Toyib senang sekali melihat rama-rama terbang. Perlahan-lahan terbang tinggi. Toyib senyum.
“Anak haram! Anak haram!’’
“Toyib menutup cuping telinga. Berkali-kali Toyib menggeleng-geleng apabila bisikan anak haram itu menerjah ke benaknya.
“Anak haram! Anak haram!
“Tidak!’’ jerit Toyib.
Kreekkk! Satu bunyi kuat kedengaran. Dahan ketapang melayang dan menjunam ke dalam kali bersama satu lembaga kecil.
“Toyib! Toyib!
Nenek Ijah terjelepuk di akar ketapang. Tok Bakar terjun ke dalam kali. Benerapa kali dia tercungap-cungap. Tok Bakar dan Nenek Ijah meraung. Tok Bakar menyelam lagi. Satu bot pancung karam di perairaN Batam. Bot menuju ke Lombok. Semasa menjumpai mangsa karam, Mustarjo masih memeluk erat isterinya. Salmah kaku. Mustarjo berdarah dan lemah.
“Bantu saya, anak saya!’’ Mustarjo memaut pada sekeping papan. Ajaib. Bayinya masih hidup. Dibungkus dengan baju t-Mustarjo. Mustarjo dibawa ke hospital.
“Maafkan saya bapa dan ibu. Tolong jaga anak saya.’’ Mustarjo menyerahkan Toyib kepada Nenek Ijah,’’ Tolong maafkan Salmah. Maafkan saya kerana merampas Salmah. Saya cinta Salmah!’’ Mustarjo memegang tangan Nenek Ijah. Hanya esakan Nenek Ijah kedengaran. Tok Bakar tidak nampak batang hidungnya.
“Sekali lagi saya mohon pada ibu, tolong jaga anak saya!’’ Mustarjo diam dan tiada suara merintih kedengaran lagi. Nenek Ijah menangis sambil tangannya mendakap erat bayi itu.
“Toyib!’’ Cikgu Nor meraung sekuat hati dan keratan akhbar melayang perlahan ditiup angin jatuh ke kali.
“ Toyib meleret senyum. Kini sayang dapat dilihat dan kasih dapat dirasanya.

P/s: Kredit untuk penulis asal, Berita Harian dan juga Tie yang telah menaip semula cerpen ni dalam bentuk 'soft copy' untuk dimasukkan ke dalam blog.